Berita

66,000 keluarga miskin bakal terima bantuan pek makanan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 25 Mac 2020 11:49 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 65,000 keluarga miskin bandar dan B40 termasuk mereka yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota akan menerima pek bantuan makanan bernilai hingga RM100 bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang kini dilanjutkan hingga 14 April ini.

Selain itu, sebanyak 1,000 keluarga miskin di Putrajaya juga bakal menerima bantuan sama dengan keseluruhannya menelan belanja hampir RM7 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan, keluarga miskin itu akan menerima pek makanan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.

“Sekarang kita sedang menyediakan mekanisme untuk mengedarkan bantuan itu untuk elakkan berhimpun sama ada kita akan berikan kupon atau edarkan barangan secara terkawal.

“Ini akan dibincangkan dengan persatuan penduduk dan pemimpin tempatan kerana ia melibatkan jumlah yang besar,” katanya ketika mengumumkan Inisiatif Wilayah Cakna di sini hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP berkata, golongan gelandangan turut akan diberikan bantuan makanan harian melibatkan 700 orang dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita sudah putuskan untuk memindahkan golongan tersebut di tiga premis dan bakinya sedang difikirkan tempatnya. Kalau boleh semua mereka berdaftar dan diletakkan di tempat tertentu.

“Kita tidak mahu mereka merayau kerana ini bermakna tidak kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan, bila duduk di satu tempat maka makanan harian diberikan. MAIWP dan DBKL dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan akan aturkan makanan untuk mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MAIWP juga akan mempercepatkan bantuan kewangan bulanan kepada 22,000 asnaf dan zakat khas RM500 bagi 24,196 keluarga dengan keseluruhannya melibatkan perbelanjaan RM12 juta.

Dalam pada itu, seramai 90 pelajar Kolej Antarabangsa Sains Perubatan Pusrawi (PICOMs) dan 150 pelajar Kolej Profesional Baitulmal turut diberikan bantuan melibatkan kos sebanyak lebih RM55,000.

“Tadika di bawah kendalian Perbadanan Putrajaya juga akan berikan pengecualian yuran sehingga Mei ini melibatkan kos ditanggung kira-kira RM230,000,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas