Berita

Peniaga Taman Tasik Titiwangsa monopoli parkir motosikal?

PENGUNJUNG diingatkan untuk sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan susulan pembukaan semula 12 taman awam di bawah seliaan DBKL.
- Diterbit 11 Oktober 2020 3:30 AM MYT

BARU sahaja isu berkaitan peniaga dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, kali ini Taman Tasik Titiwangsa sekali lagi kecoh apabila parkir motosikal disalahgunakan.

Ini kerana, menurut salah seorang pengunjung, parkir yang dikhususkan untuk motosikal telah dimonopoli kereta milik peniaga.

“Pengunjung yang datang dengan motosikal untuk beriadah di taman tersebut menghadapi masalah parkir kerana ia dipenuhi kereta milik peniaga di situ.

“Oleh itu, pihak DBKL diminta untuk memantau kawasan berkenaan daripada dikuasai gerai mahupun kenderaan penjaja sekali gus memudahkan orang awam datang berkunjung,” adunya menerusi PERTIWI.

Dalam pada itu, katanya, diharapkan supaya aduannya mendapat perhatian dan tindakan daripada pihak berwajib sekali gus menjaga imej Kuala Lumpur.

Taman Tasik Titiwangsa yang dibuka semula awal tahun ini mempunyai pelbagai tarikan baharu termasuk Taman Tema Air, Laman Kerawang yang berkonsep ukiran, jambatan gantung dan ‘maze garden’.

Pembaharuan yang lebih moden itu memberi nafas baharu kepada taman popular berkenaan, pada masa sama mencantikkan pinggiran ibu kota.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas