Berita

Peniaga bersyukur dibenar beroperasi

BUTIK pakaian Surigallery pemilik Suriani Salasim yang terletak di Setapak Central Mall, Kuala Lumpur mula beroperasi Rabu lalu.
- Diterbit 20 Ogos 2021 2:00 AM MYT

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan sektor ekonomi dibuka secara berperingkat terutama di kawasan yang masih berada di dalam Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sambut penuh kesyukuran.

Bagi mereka, keputusan itu melegakan kerana ia dapat membuka peluang mencari rezeki dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan daripada kerajaan sekaligus dapat merancakkan semula sektor ekonomi di Kuala Lumpur.

MOHAMMAD LUQMAN

Pengusaha Joe’s Barbershop Wangsa Maju, Mohammad Luqman Yunus, 27, menyifatkan pengumuman itu amat melegakan dan beliau telah membuat persiapan awal mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Secara keseluruhan, operasi kedai akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dan sebelum beroperasi, kami akan membersihkan kedai, peralatan, sanitasi seluruh premis untuk memastikan kebersihan serta menjaga keselamatan pelanggan.

“Untuk pekerja pula, kami diwajibkan untuk memakai alat pelindungan diri (PPE), pelitup muka dan sarung tangan sebelum melakukan kerja kerja penguntingan rambut,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Mohammad Luqman berkata, beliau amat mementingkan keselamatan pelanggan dan memastikan bahawa operasi harian kedai tersebut tidak menjadi punca kepada penyebaran kluster virus tersebut.

“Mereka tidak akan berkongsi dan menggunakan cutting cape yang sama, sarung tangan dan apron sebaliknya memakai set pakai buang bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan mereka.

“Kami juga akan meminta pelanggan berada di luar kedai untuk kami lakukan sanitasi dalam premis serta peralatan yang telah digunakan sebelum menerima pelanggan baharu,” katanya yang sudah berkhidmat lebih 13 tahun dalam industri ini.

Menurut Mohammad Luqman, pihaknya hanya akan menerima pelanggan yang telah melengkapkan vaksinasi dua dos sahaja bagi mengelakkan jangkitan virus itu terhadap pekerja dan pelanggannya.

“Buat masa ini, kami terima pelanggan daftar terus dan temujanji. Kalau daftar terus, kami akan memeriksa sijil vaksin terlebih dahulu. Begitu juga temujanji, kami akan menyemak aplikasi MySejahtera,” jelasnya lagi.

SURIANI

Sementara itu, pemilik butik pakaian Suriagallery, Suriani Salasim, 49, berkata penambahan SOP baharu tidak memberi kesan besar kepada persiapan pembukaan kedainya.

“Kami masih mengekalkan SOP yang lama dengan meletakkan cecair sanitasi tangan dihadapan pintu masuk kedai, imbasan MySejahtera.

“Sebagai pengusaha, keselamatan pekerja dan pelanggan adalah dibawah tanggungjawab saya. Untuk itu, saya akan memastikan pekerja saya melengkapkan dua dos vaksin sebelum memulakan operasi,” katanya.

Suriani berkata, aspek pematuhan terhadap SOP termasuk penjarakkan fizikal dititik beratkan bagi mengelakkan sentuhan dan keboleh jangkitan COVID-19.

“Sebelum ini, pelanggan boleh masuk tanpa had, namun untuk mematuhi SOP dan mengelakkan pelanggaran antara satu sama lain, hanya individu yang ingin membeli sahaja dibenarkan masuk dengan masa yang dihadkan,” katanya.

Beroperasi di Kompleks Beli Belah, Setapak Central Mall sudah pasti aspek pematuhan SOP amat dititik beratkan oleh pihak pengurusan tidak menjadikan Suriani mengambil sambil lewa mengenai perkara tersebut.

“Walaupun pusat membeli belah mewajibkan semakan terhadap status MySejahtera untuk setiap pelanggan, kami turut mengambil langkah yang sama termasuklah menyemak status profil MySejahtera.

“Jika seseorang pelanggan sudah melengkapkan dos kedua vaksin, kami akan memberikan kebenaran untuk masuk dan jika seseorang pelanggan tidak lengkap dua dos vaksin, maka kami terpaksa menghalang mereka untuk masuk ke dalam premis,” katanya.

Suriani memberitahu, pihaknya akan membekalkan sarung tangan kepada setiap pelanggan dan mereka tidak di benarkan untuk mencuba pakaian tersebut.

“Pelanggan perlu mengukur saiz terlebih dahulu supaya mudah untuk membeli membeli tanpa perlu mencuba pakaian yang diperagakan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan kira-kira 11 sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula berkuatkuasa pada 16 Ogos lalu dan operasi hariannya hanya ditumpukan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin selepas 14 hari menerima vaksin ke dua.

Antara 11 sektor yang terlibat adalah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan serta kedai aksesori kereta.

Kerajaan juga turut membenarkan pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, kedai barang kemas, kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta kedai gunting rambut dan pusat salun kecantikan untuk beroperasi. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas