Paralimpik Tokyo: sasaran tiga pingat emas kekal relevan
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. Gambar - Mstar

Paralimpik Tokyo: sasaran tiga pingat emas kekal relevan

SASARAN tiga pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak terjejas walaupun berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan kerajaan, kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Beliau menegaskan tiada campur tangan politik dalam sukan dan amalan itu perlu diteruskan, selain menjelaskan sasaran diumumkan Menteri Belia dan Sukan terdahulu turut berpandukan tahap prestasi barisan atlet negara sekali gus menjadikan ia sasaran yang realistik.

Bagaimanapun, beliau selaku ketua kontinjen negara ke temasya itu tidak terkejut jika Malaysia berjaya melepasi angka sasaran ditetapkan memandangkan kontinjen negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam beberapa sukan yang dipertandingkan.

“Dari segi perubahan pucuk kepimpinan di mana tiada menteri (Belia dan Sukan) sekarang, semuanya masih sama tiada perubahan, kita dengan ketetapan yang sama. Kita percaya dengan jumlah (tiga pingat emas) Insya-Allah kita mampu memperoleh lebih, malah ia sebagai bonus.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu yakin atau meletakkan tekanan kepada atlet namun kita memang fokuskan kepada sukan berpotensi, yang lain kita mahu mereka melakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media pada pelancaran kempen “WeThe15 – The Malaysian Way” secara dalam talian, hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini mengumumkan sasaran tiga pingat emas buat kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo iaitu jumlah yang sama dicapai kontinjen negara pada edisi 2016 di Rio de Janiero, Brazil.

Pada masa sama, Megat D Shahriman mengingatkan atlet supaya bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di Tokyo sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, beliau optimis pelaksanaan SOP lebih ketat itu tidak akan memberi kesan besar kepada atlet selepas mereka turut melakukan persediaan dan menjalani latihan dalam kaedah gelembung sukan.

“Mereka (atlet) sudah tidak sabar, mereka mungkin sudah tidak kisah, kita bagi lah SOP apa mereka akan ikut. Mereka hanya mahu bersaing dan beraksi serta melakukan yang terbaik. Inilah yang mereka inginkan,” jelasnya.

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 Sept menyaksikan, seramai 22 atlet negara akan menggalas cabaran dalam sembilan jenis sukan melibatkan 32 acara keseluruhan.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman yang melancarkan kempen “WeThe15 – The Malaysian Way” secara dalam talian berkata kempen “WeThe15” merupakan satu inisiatif jangka panjang untuk mengangkat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seluruh dunia.

Katanya sebagai tanda sokongan, MPM turut mengambil bahagian mewakili Malaysia menerusi “WeThe15 – The Malaysian Way” yang mempunyai objektif untuk memperjuangkan nasib sehingga 15 peratus golongan OKU berdaftar di negara.

Beliau berkata sebagai tanda sokongan dan bagi menarik perhatian umum terhadap kempen itu, Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan diterangi cahaya lampu berwarna ungu bermula 8 malam sebagai simbolik kepada pelancaran kempen itu yang diadakan secara serentak di seluruh negara, hari ini. – BERNAMA

CATEGORIES