Berita

Bantuan dari peruntukan kewangan kerajaan PN diteruskan – KSN

URUSAN pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha
- Diterbit 20 Ogos 2021 3:14 AM MYT

PELETAKAN jawatan Perdana Menteri dan seluruh kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 16 Ogos lalu sedikit sebanyak meresahkan golongan rentan yang mengharapkan sokongan kerajaan seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan i-Citra.

Rata-ratanya mengandaikan bantuan seperti BKC yang sepatutnya disalurkan pada bulan ini, dihentikan.

Malah kegusaran itu berterusan walaupun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Ia berikutan, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan Kerajaan Caretaker.

Menyedari keresahan yang dialami golongan rentan berkenaan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, dalam hal yang demikian, Kerajaan Caretaker boleh mengambil tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.

“Walaubagaimanapun, Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan mahupun membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan itu perlu dilaksanakan demi kepentingan awam,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mohd Zuki berkata, bagi maksud itu, Kerajaan Caretaker boleh menjalankan tugasan rasmi rutin termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan berfungsi.

Pada masa sama, katanya, mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan boleh diadakan di samping meneruskan pelaksanaan dasar serta program sedia ada yang mana peruntukan kewangan baginya telah disediakan seperti Program Imunisasi Kebangsaan (PICK), Pelan Pemulihan Negara dan juga bantuan lain sebelum tarikh Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Kerajaan Caretaker boleh membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan kerajaan (sebelumnya) atau peruntukan mengenainya diluluskan Parlimen seperti Belanjawan tahun semasa.

“Mereka juga boleh mengadakan dan menghadiri majlis rasmi yang dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, peruntukan itu adalah berdasarkan konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel yang mana Kerajaan Caretaker hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas