Peniaga bawah program WBB ditempatkan, disusun semula
PELESEN yang sudah diluluskan telah diberi tempoh lanjutan lesen sehingga 31 Disember 2021.

Peniaga bawah program WBB ditempatkan, disusun semula

PENIAGA-PENIAGA di bawah Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diperkenalkan pada 15 November tahun lalu akan ditempatkan semula.

Program WBB merupakan pelan tindakan jangka pendek membantu penjaja yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia susulan permohonan Penjaja Lesen Sementara KL Prihatin (LSKLP) bagi program itu telah ditutup pada 15 April lalu.

Menurutnya, pelesen yang telah diluluskan sehingga 31 Julai 2021 telah diberi tempoh lanjutan lesen sehingga 31 Disember 2021.

“Buat masa ini, DBKL sedang dalam proses memuktamadkan Program Halatuju Wilayah Bebas Berniaga pada penghujung November 2021.

“Selain itu, pihak DBKL juga turut melakukan penempatan dan penyusunan semula peniaga di bawah program ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kementeriannya menyatakan jumlah peniaga di Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika program Zon Bebas Niaga dan pelan jangka panjang bagi program tersebut.

Tambahnya, selaras dengan hala tuju kementerian, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menyediakan ruang niaga serta mempermudahkan urusan permohonan dan kelulusan kepada Penjaja Kecil Sementara (PKS) dan Usahawan Muda Kota (UMK) bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan demi masing-masing.

“Selain itu, pengecualian daripada bayaran lesen juga diberikan bagi membantu PKS.

“Setakat ini, sebanyak 118 kebenaran untuk menjalankan perniagaan telah dikeluarkan kepada PKS. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 PKS masih beroperasi dan aktif,” katanya. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )