Berita

Pengusaha pusat tahfiz digesa beri kerjasama

- Diterbit 14 Jun 2019 6:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pengendali dan pengusaha pusat tahfiz digesa memberi kerjasama kepada agensi kerajaan terbabit bagi membolehkan setiap premis yang dikendalikan mematuhi aspek keselamatan.

Pengetua Pondok Moden Darulsallam Sijangkang, Sariffah Mat Nor Rashid berkata, masalah yang dihadapi pada masa ini adalah pengusaha-pengusaha tahfiz masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

”Ustaz-ustaz berkenaan tak nak ambil (borang permohonan lesen) sebab cakap susah. Mereka merasakan urusan dan prosedur yang perlu dilakukan itu menyusahkan serta sukar dilakukan.

“Saya nasihatkan mereka supaya jangan degil kerana mereka menjaga anak orang. Prosedur dan peraturan yang ditetapkan itu tidak susah kalau mereka betul-betul mengikutnya,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Sariffah, pengusaha pusat tahfiz sepatutnya tidak menyalahkan mana-mana pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat yang datang membuat pemantauan sebaliknya mengikut arahan yang diberikan.

Beliau turut meminta supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak terlampau mendesak pengusaha pusat tahfiz tetapi mengambil tindakan tegas termasuk mengarahkan tutup sekiranya pengusaha tidak mengikut arahan yang diberikan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar memilih pusat tahfiz yang bertauliah dan mendapat sijil pengesahan daripada jabatan agama sebelum menghantar anak mereka ke pusat pengajian berkenaan.
”Ibu bapa kena waspada sebelum masukkan anak mereka, kena tengok sijil pusat tahfiz. Kebanyakan ibu bapa tidak pentingkan perkara itu sedangkan tempat yang dihantar itu akan mendidik anak mereka,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas