Berita

Bangunan hanya jadi kelas fardu ain, mengaji al-Quran dan taska 97 premis ‘jual’ nama pusat tahfiz

- Diterbit 14 Jun 2019 6:12 AM MYT

Bangunan hanya jadi kelas fardu ain, mengaji al-Quran dan taska
97 premis ‘jual’ nama pusat tahfiz

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto AZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Selepas tragedi kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat di sini pada September 2017, program pemutihan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaksanakan progrom pemutihan terhadap pusat-pusar tahfiz di sekitar ibu kota.

Program pemutihan yang bermula awal tahun ini ternyata membuka satu lagi penemuan mengejutkan. Ia ibarat seperti ‘bongkah ais’ apabila membongkar sebenarnya terdapat 97 daripada 130 premis pusat tahfiz yang telah disenarai beroperasi di ibu negara sebenarnya tidak menjalankan pengajian penghafazan al-Quran.

Pemilik premis tersebut didapati sekadar menggunakan nama pusat tahfiz untuk menarik perhatian orang ramai.
Menurut sumber, 97 buah premis berkenaan sebaliknya hanya dijadikan sebagai ruang kegunaan untuk ibadat, pengajian fardu ain bagi penduduk setempat dan kelas pengajian al-Quran atau bacaan Iqra.

“Ada juga yang menjadikan ruang tersebut sebagai pusat jagaan anak yatim atau taska. Selain itu, terdapat beberapa buah premis yang mempunyai alamat atau nama pusat tahfiz bertindih dan telah ditutup.

“Jumlah sebenar yang menjalankan pusat tahfiz di Kuala Lumpur adalah 33 buah premis sahaja,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Sumber memberitahu, daripada 33 premis berkenaan pula, 18 buah boleh ditambah baik dan dipertimbangkan untuk kelulusan pihak berkuasa manakala 15 buah lagi perlu dikaji semula kerana tidak layak diduduki.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat selepas tiga kali siri pengauditan dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan NGO.

Ujar beliau, tujuan audit dilaksanakan adalah untuk mendapatkan ulasan-ulasan yang akan dibawa ke pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menentukan sama ada pusat tahfiz berkenaan boleh dipertimbangkan atau tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya perlu diambil.

“Daripada 15 buah premis, 14 buah merupakan premis asrama dan satu adalah harian. Bagi 18 buah pusat tahfiz yang boleh ditambahbaik pula, 11 buah menyediakan kemudahan asrama manakala selebihnya harian,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas