Berita

10,000 pemandu teksi diberi insentif caruman Perkeso

- Diterbit 14 Jun 2019 6:08 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

10,000 pemandu teksi diberi insentif caruman Perkeso

KUALA LUMPUR – Yayasan wilayah Persekutuan (YWP) bersetuju untuk memberi intensif khas kepada kira-kira 10,000 pemandu teksi di ibu negara dalam bentuk pembiayaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, yayasan berkenaan tampil menyalurkan bantuan tersebut ekoran persaingan dengan perkhidmatan e-hailing yang telah menjejaskan pendapatan sebahagian besar pemandu teksi.
”Jumlah insentif berkenaan melibatkan peruntukan kira-kira RM17 sebulan bagi setiap pemandu dan kami menganggarkan kos keseluruhan ialah kira-kira RM1.2 juta atau RM1.3 juta.
”Saya sudah meminta Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun untuk menghubungi Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) untuk mendapatkan jumlah sebenar pemandu teksi yang memerlukan bantuan dan masalah yang dihadapi mereka,” katanya kepada pemberita di Wisma YWP, Kampung Baru di sini baru-baru ini .
Menurut Khalid yang Pengerusi YWP berkata, pemandu teksi boleh menghubungi GTSM untuk memohon insentif berkenaan demi kepentingan mereka.
“Setakat ini, kita hanya melaksanakan insentif berkenaan hanya untuk tahun ini,” katanya.
Kata Khalid lagi, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat permintaan daripada pihak GTSM dan mengambil kira pengumuman yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka yang telah bersetuju membantu pemandu teksi di negeri tersebut baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas