PUTRAJAYA – Proses pengumpulan data yang diperoleh semasa Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar di sini baru-baru ini dimulakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Abd. Talib berkata, pengumpulan tersebut merupakan tindakan pertama yang dilakukan selepas penganjuran seminar dan analisa akan dibuat sejurus selepas kesemua data diperoleh.
“Sekarang kita buat persiapan untuk merancang tindakan seterusnya dan analisa akan dilakukan.
“Kami akan meneliti semua aspek kemiskinan seperti yang dibincangkan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tentang tindakan susulan daripada pelaksanaan Seminar Membasmian Kemiskinan Bandar baru-baru ini.
Menurut Ahmad, selepas kesemua data dikumpul, pihaknya akan duduk bersama dan berbincang bagi menyusun tata kerja seterusnya sekali gus berusaha mencapai hasrat untuk membasmi kemiskinan.
Pada 5 Disember lalu, 16 panel membentang kertas kajian masing-masing yang dibuat berhubung masalah kemiskinan bandar di negara ini.
Seminar sehari itu melibatkan beberapa pihak antaranya kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan, aktivis sosial dan pihak swasta.