Berita

Pelan induk dalam tempoh 6 bulan

KHALID (tengah) bersama kanak-kanak yang menerima bantuan persekolahan pada program Back To School di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 12 Disember 2019 7:22 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengemukakan pelan induk bagi membasmi kemiskinan bandar selepas membuat kajian menyeluruh dari­pada cadangan serta idea yang dibentang semasa Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar, 5 Di­sember lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, polisi atau tidakan seterusnya itu akan dibuat dalam tempoh enam bulan selepas tarikh penganjuran seminar berkenaan.

“Ia bukanlah perubahan paradigma kerajaan sekarang tetapi merupakan masalah yang cuba diselesaikan oleh semua pihak.

“Mungkin sebelum ini, (kerajaan terdahulu) melakukannya dengan cara biasa, beri sumbangan, bantu sini dan bantu sana. Oleh itu, kita kena kaji kenapa ia (bantuan) tidak cukup dan tidak berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak kakitangan kumpulan pelaksana Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Khalid berkata, mene­rusi kaji selidik yang dilakukan itu juga, beberapa kaedah yang lebih berkesan akan terhasil sekali gus dapat membantu keluarga-keluarga miskin dan golongan sasar untuk keluar dari kepompong hidup mereka atau dari tahap B40 kepada masyarakat M40.

Jelas beliau, peng­libatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, swasta dan aktivis yang terlibat secara langsung dengan golongan berkenaan juga dapat membantu menggembleng idea bagi mengatasi masalah yang ada.

“Ini selari dengan matlamat Kemakmuran Bersama yang memang menumpu kepada agihan kekayaan hasil pembangunan serta kekayaan negara.

“Persoalan yang me­rupakan cabaran bagi kami adalah agihan yang berkesan supaya tidak ada yang ditinggalkan seperti cogan kata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, ‘no one will be left behind’,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 keluarga kumpulan sokongan kakitangan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang mempunyai anak bersekolah rendah dan menengah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian­ Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun.

Bantuan berkenaan julung kali dibuat Kelab Kebajikan dan Sukan Kementerian Wilayah Persekutuan (KESWIP) bersama YWP.

Bantuan yang dberikan termasuk beg dan peralatan persekolahan bernilai RM50 dan baucar sebanyak RM100, manakala YWP menyediakan baucar sebanyak RM120.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas