Artikel

Juara Mountain Bike 2019 dicalon ke Sukan SEA

POSTER Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2019
POSTER Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2019
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Putrajaya bakal menganjurkan Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2019 pada 16 hingga 18 Ogos ini bertempat di Taman Cabaran di sini.

Kejohanan yang didaftarkan di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini membuka peluang kepada setiap negeri untuk menghantar sekurang-kurangnya dua wakil bagi menyertai temasya itu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Putrajaya, Abdul Halim Md. Yusoff, objektif utama penganjuran itu adalah sebagai medan untuk memilih juara Malaysia sekali gus menjadi calon untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA di Manila tahun ini.

“Kejohanan ini merupakan kayu pengukur untuk kita mengenal pasti mereka yang handal. Pelumba kategori Lelaki/Wanita Elit dan Lelaki/Wanita Junior akan ditawarkan mata yang mana jika cukup kriteria, tidak mustahil bakal mewakili negara untuk sukan berprestij,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Tambahnya lagi, acara yang bakal berlangsung selama tiga hari ini ter­bahagi kepada empat kategori penyertaan iaitu Lelaki Elit (Cross Country, Downhill), Wanita Elit (Cross Country, Downhill), Lelaki Junior (Cross Country) dan Wanita Junior (Cross Country).

“Setiap pelumba yang ingin turut serta perlu mempunyai lesen lumba basikal bagi tahun 2019 serta memakai jersi pasukan negeri yang seragam. Yuran penyertaan adalah RM40,” ujarnya.

Katanya lagi, borang penyertaan yang lengkap diisi perlu dikembalikan sebelum atau pada 13 Ogos 2019.
Sementara itu, tambahnya, mesyuarat pengurusan pasukan pula akan diadakan pada 16 Ogos di Bike Park, Taman Cabaran di sini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas