WK2

Penguat Kuasa PPj tegas jamin kesejahteraan Putrajaya

||
- Diterbit 19 November 2021 8:52 AM MYT

BIDANG penguatkuasaan merupakan antara tonggak dan imej hadapan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap warga Putrajaya yang lebih prihatin serta patuh kepada undang-undang.

Maka tindakan penguatkuasaan dari bahagian Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) merupakan elemen penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya patuh kepada perundangan yang berkuat kuasa.

Oleh itu, kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada setiap kakitangan bahagian penguatkuasaan PPj adalah amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan menepati kehendak warga Putrajaya.

Tugas yang dipikul adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan di kawasan Putrajaya di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua undang-undang kecil yang diperuntukkan di bawah akta ini atau mana undang-undang penguatkuasaan.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Mohd Ali Jusoh, fungsi utama badan penguat kuasa adalah memastikan masyarakat memahami, mengetahui dan mematuhi undang-undang.

MOHD ALI JUSOH

“Setiap tindakan yang diambil adalah demi ‘Kesejahteraan Masyarakat Putrajaya Dan Semua Pemegang Taruh Melalui Penguatkuasaan Yang Tegas dan Berhemah’ bagi menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang bersih, indah dan mewujudkan suasana harmoni serta mengawal sebarang aktiviti negatif.

“Kita juga menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan di bawah undang-undang PPj sekali gus mengawal dan memastikan semua harta PPj berada di dalam keadaan baik dan selamat,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau, pelbagai pemantauan proses pengeluaran kompaun dan tindakan penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan undang-undang PPj dipatuhi dengan sepenuhnya.

“Antaranya kawalan aktiviti penjaja tanpa lesen, pemantauan bersama Unit Merinyu Bahagian Komersial, Pemantauan Ops Tasik (memancing), Pemantauan bersama Bahagian Kawalan Bangunan/Infra selain turut menerima, menyiasat dan menyelesaikan aduan berkaitan banjir kilat, demonstrasi, mengawasi tempat-tempat tumpuan orang awam berkumpul dan sebagainya.

“Sebagai contoh, penjaja haram kita memang tak boleh nak elak, cuma cara untuk menanganinya adalah dengan cara mencari lokasi untuk mereka dan lesenkan sementara di satu kawasan supaya mereka tidak duduk bersepah. Dalam masa yang sama, memberitahu mereka supaya duduk diam di kawasan tersebut. Jika mereka keluar menjaja di kawasan lain, kita akan sita dan rampas barang-barang. Itu antara kaedah kita untuk mengawal.

“Berbeza dengan di Dataran Putra, di situ memang tidak dibenarkan langsung untuk berniaga kerana kawasan tersebut dikhaskan untuk bersiar-siar sahaja. Cuma, jika ada yang degil, kita akan keluarkan kompaun.

“Dulu banyak kejadian antaranya kes budak kena langar patah kaki, jatuh dan sebagainya kerana laluan terhalang dan sempit apabila ramai yang berniaga. Sebab itu, kita ambil pendekatan tidak benarkan langsung semua jenis perniagaan di situ,” ujarnya yang turut menegaskan tinjauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) turut membantu memantau keadaan semasa.

Menyentuh dari segi Wilayah Bebas Berniaga (WWB) pula, beliau berkata, mereka turut bekerjasama dengan bahagian perlesenan di Jabatan Pengangkutan Bandar, PPj, berkaitan lokasi yang bersesuaian.

“Pemohon berurusan dengan PPj dan nyatakan lokasi ingin berniaga dan dalam masa yang sama kita akan bawa ke satu perbincangan untuk mengenal pasti lokasi cadangan sesuai atau tidak. Jika sebaliknya, kita akan cadangkan lokasi lain,” ujar beliau.

Operasi bersepadu lebih giat

PENGUATKUASAAN operasi bersepadu turut dijalankan secara berterusan bersama agensi penguatkuasaan luar yang berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

“Tindakan yang dibuat dalam operasi ini adalah berdasarkan bidang kuasa jabatan dan agensi masing-masing. Kita bergerak bersama membantu antara satu sama lain untuk membanteras jenis kesalahan antaranya Operasi Penjaja Tanpa Lesen, Operasi Sesak, Operasi Pelepasan Asap Hitam dan sebagainya.

“Banyak operasi-operasi khusus bersama agensi lain yang kita buat contohnya operasi warga asing, operasi dadah, operasi maksiat yang dianggarkan lebih daripada lima operasi dalam satu tahun. Cuma apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini, ia terbatas. Insya-Allah, sekarang ini kita sudah mula fokus kembali,” ujar beliau.

Menyentuh tentang cabaran yang diterima, Mohd Ali mengakui tim penguatkuasaan turut berdepan dengan cabaran yang lebih sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda negara.

“Bagi saya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 3 dan 4 lebih mencabar daripada fasa 1 dan 2. Ini kerana fasa tersebut melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berbanding fasa 1 dan 2 yang mana orang ramai duduk di rumah sahaja.

“Semua orang dah boleh keluar, jadi kita nak mengawal kumpulan orang ramai memang satu masalah yang besar. Selain pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya.

“Kami lebih kepada tugas menegur, dari segi tindakan kompaun dan sebagainya, ia dilakukan oleh pihak PDRM atau KKM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas