Selebriti

Haqiem Rusli dan Anis sah suami isteri dengan dua kali lafaz

|ANTARA dulang hantaran dalam majlis nikah Haqiem dan Anis Sofea||SEMOGA terus bahagia hingga ke syurga abadi. Amin...
- Diterbit 19 November 2021 8:11 AM MYT

PENYANYI popular Haqiem Rusli,23, sah bergelar suami kepada ahli perniagaan, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri,19, dengan dua kali lafaz.

Dihadiri 20 tetamu daripada kedua-dua buah keluarga, pasangan ini disatukan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya kira kira pukul 3.40 petang, hari ini.

Dalam majlis yang mematuhi prosedur operasi standard itu, pasangan secocok itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin wanita, Wan Zamzuri Wan Muhammad.

Haqeim atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 23, yang mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 selain wang hantaran, RM100,000.

Dalam majlis tertutup ini juga, Haqiem menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pihak pengantin perempuan.

“Saat yang saya tunggu selama ini untuk menghalalkan hubungan kami akhirnya terpateri.

“Selepas mengumumkan berita nak menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, saya bersyukur kerana keinginan itu tidak hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.

“Biarpun akur, detik bersejarah ini berlangsung di era pandemik COVID-19 yang segala serba serbi terbatas. Saya harap fasa baru ini akan dirahmati. Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya usai majlis nikah selesai.

ANTARA dulang hantaran dalam majlis nikah Haqiem dan Anis Sofea

Menurut Haqiem, Anis Sofea yang melengkapi hidupnya itu digambarkan dalam lagu baharu berjudul Hitam Saksi Putih.

“Secara ringkas, dia melengkapi saya. Dia menyempurnakan kekurangan diri.

“Saya abadikan kisah kami dalam single baharu itu. Hitam itu jadi simbolik kejahatan dan kehadirannya saya rumuskan sebagai warna putih yang banyak menyebar sisi positif dalam diri saya,” katanya yang dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular ABPBH34 baru-baru ini.

Detik percintaan antara Haqiem dan Anis Sofea bermula apabila mereka bersama-sama mengusahakan restoran Santhai Village di Setapak, Kuala Lumpur.

“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.

“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” katanya yang turut melancarkan single baharu Hitam Saksi Putih hari ini buat isterinya yang berasal dari Kelantan itu.

SEMOGA terus bahagia hingga ke syurga abadi. Amin…

Mengenai anak, pasangan ini mahu fokus momen hidup berdua terlebih dahulu namun tidak menolak andai rezeki anak datang cepat.

Pasangan berkenaan turut akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass dengan mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.

Primadona Events dan Ben Signatures Event menjadi perancang majlis dalam masa tiga bulan secara privasi. – WILAYAHKU

Foto: Aqo Imran / Instagram @aqoimran

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas