Artikel

Syabas! MTK Lembah Pantai bangkit isu komuniti

FAHMI mempengerusikan mesyuarat MTK Lembah Pantai yang pertama bagi tahun 2020.
- Diterbit 23 Januari 2020 6:19 AM MYT

ISU komuniti pastinya tidak pernah lekang daripada mana-mana bahagian aduan agensi, jabatan-jabatan kerajaan mahu pun swasta malah ada antaranya yang acap kali berulang-ulang.

Ada pula yang tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak bertanggungjawab sehingga masalah semakin meruncing dan kerosakan makin merebak serta terbiar.

Justeru, sejajar dengan seruan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad sejak 2019, Ahli Parlimen Lembah Pantai mengorak langkah pertama mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Kawasan (MTK) Lembah Pantai.

Langkah itu juga dilakukan menerusi Inisiatif ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ yang mana, kerajaan mahu memaksimumkan penglibatan Ahli Parlimen dalam proses membuat keputusan dan dasar melalui pembentukan Majlis Menteri.

Selepas dilantik sebagai anggota Jawatan Kuasa Kecil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Fahmi Fadzil yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai buat pertama kalinya mempengerusikan mesyuarat MTK di kawasannya pada 21 Januari lalu.

Melibatkan Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai, DBKL, Alam Flora Sdn. Bhd., SWCorp Wilayah Persekutuan, Jaba­tan Alam Sekitar dan beberapa pihak lain, mesyuarat yang bertujuan mengetengahkan isu-isu di Lembah Pantai itu dilihat dapat menyelesaikan masalah komuniti dengan kadar segera serta lebih efisien.

Ia sekali gus mencapai usaha untuk men­sejahterakan rakyat seperti seruan kerajaan masa kini.
Ini kerana, fokus utama yang dibentang­kan dalam mesyuarat tersebut adalah pendidikan, pekerjaan, perumahan dan perancangan bandar yang semestinya merupakan isu-isu utama berkaitan komuniti.

Malah, beberapa isu lain yang dihadapi penduduk juga dapat diketengahkan bagi mendapatkan pandangan tentang cara penyelesaian.

Selain itu, menerusi mesyuarat yang pertama kali melibatkan Ahli Parlimen selaku individu pilihan dan paling hampir dengan rakyat, masalah yang dihadapi penduduk juga dapat disuarakan terus kepada pihak bertanggungjawab. Seperti di Kuala Lumpur, pihak bertanggungjawab adalah DBKL.

Selepas melaksanakan mesyuarat itu, Fahmi terus menyatakan keyakinannya bahawa dengan adanya platform MTK, usaha untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi harapan rakyat terutama di Lembah Pantai akan dapat dilipat ganda. Sekali gus mendokong usaha pendemokrasian kerajaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas