Berita

PEKDIS laksana ibadah korban mengikut SOP yang ketat

PETUGAS korban bergotong- royong menguruskan proses menimbang, memotong dan membungkus daging korban.
- Diterbit 1 Ogos 2021 1:00 AM MYT

PERTUBUHAN Kebajikan Dakwah Islamiah (PEKDIS) Cawangan Labuan telah menganjurkan korban berkelompok di kawasan Perkarangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) baru-baru ini.

Program Korban Berkelompok merupakan inisiatif PEKDIS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) untuk mendekati masyarakat, memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga pendidikan selain dapat meraikan golongan kurang berkemampuan dan wajar diberi perhatian.

Penyelaras Program Korban PEKDIS Ustaz Haji Sahrum  Samlan berkata, bagi memastikan kelancaran program pihak urus setia sentiasa menitik beratkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP)  ibadah korban sebagaimana yang disarankan kerajaan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelesaikan kerja-kerja menimbang, memotong, membungkus dengan cepat biarpun hanya melibatkan 12 orang petugas. Proses agihan kepada 50 orang asnaf dalam kalangan  murid-murid sekolah sekitar  wilayah Persekutuan Labuan berjalan lancar. Begitu juga agihan yang dilakukan oleh peserta korban sendiri untuk saudara mara dan jiran terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PEKDIS Cawangan Labuan Kamariah Salim berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran untuk melaksanakan ibadah korban berkelompok daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai manifestasi ubudiah kepada Allah s.w.t., PEKDIS Labuan telah merancang untuk mengadakan program korban ini sejak bulan Januari yag lalu dan pada hari ini ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Alhamdulillah , Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah membenarkan pelaksanaan program ibadah korban di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2021 dengan SOP yang ketat serta pemantauan yang dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Turut hadir di dalam program itu, Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Mat Rahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Hj Abdul Rahman Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas