Berita

NGO, syarikat besar di KL dirayu sumbang keperluan asas

- Diterbit 7 April 2020 12:38 PM MYT

KUALA LUMPUR – Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Plaza One City, Selangor Mansion dan Malayan Mansion, pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dialu-alukan untuk memberi sumbangan makanan berupa keperluan asas.

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP), Tan Sri TPr. Annuar Musa merayu agar pihak terbabit tampil memberi bantuan.

“Di Kuala Lumpur banyak syarikat-syarikat besar, kita amat berharap mereka dapat memberi sumbangan dalam bentuk keperluan asas seperti beras, minyak masak, gandum dan sardin.

“Ini kerana sepanjang tempoh PKPD, pergerakan penduduk dikawal dan dihadkan, jadi berkemungkinan besar timbul masalah bekalan makanan tidak mencukupi,” ujar beliau.

Katanya, PKPD yang dikuatkuasakan serta merta di ketiga-tiga kawasan tersebut, besar kemungkinan melibatkan hampir 10,000 penduduk yang berada di kawasan tersebut.

“Himpunan barang yang disumbang adalah sebagai langkah agar mereka mendapat bekalan yang mencukupi bagi tempoh ini. Bagi mereka yang mendengar, bantuan anda amatlah dihargai,” kata Annuar.

Tambah beliau lagi, pihak yang ingin tampil membantu, bolehlah menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Pengurusan Krisis (CMC). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas