Utama

Penghantar makanan juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2023… bawa pulang RM5,000

- Diterbit 23 Februari 2023 12:58 PM MYT

PENGHANTAR makanan, Mohamed Juraimy Ahmad, 42, dari Senawang, Seremban, Negeri Sembilan telah dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasir Ampang Hilir, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kejayaannya menaikkan ikan patin seberat 14.490 kilogram (kg) membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM5,000 pada pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.

Juraimy menyifatkan tuah buatnya menggunakan roti kosong disambar ikan patin yang memaksa dia mengambil masa lebih 10 minit sebelum dapat menaikkan ikan tersebut.

Katanya, beliau selalu mengikuti pertandingan memancing anjuran DBKL sejak dahulu lagi tidak pernah patah semangat walaupun kecundang namun rezekinya kali ini berjaya membuahkan hasil.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini saya gunakan untuk tingkatkan lagi alatan kelengkapan joran sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan memancing lagi”ujarnya.

JURAIMY (tiga dari kiri) menaikkan ikan patin seberat 14.490 kilogram (kg) membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM5,000. Hadiah disampaikan oleh Pengarah, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Khairul Azmir Ahmad (empat dari kiri).

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Pengarah, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Khairul Azmir Ahmad dan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Izwan Razif Salehaped.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 Bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ menyaksikan sebanyak 565 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan peserta.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Khairil Janudin, 33, dari Ampang, Kuala Lumpur apabila berjaya menaikkan ikan patin seberat 13.760 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Shamsul Ahamad, 38, dari Cyberjaya juga menaikkan patin seberat 12.350 kg menerima RM1,000.

Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur itu disertai hampir 900 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Dalam pada itu Pengarah, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata aktiviti Cabaran Joran Kuala Lumpur ini memberi banyak manfaat kepada warga.

“Objektif sebenarnya, kita nak beri rakyat peluang untuk bersantai, beriadah dan dapat bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kota,” ujarnya.

Beliau juga rasa berpuashati apabila acara ini mendapat sambutan yang baik, disertai pelbagai bangsa, usia malah peserta wanita tidak kurang hebatnya sama-sama menyertai pertandingan memancing ini.

Berikutan sambutan yang mengalakkan, DBKL turut merancang untuk memasukkan acara ini sebanyak lima siri pada tahun depan sempena Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) yang akan diadakan pada 1 Feb depan.

Ini juga adalah sebagai memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972 dengan menawarkan hadiah menarik disediakan kepada pemenang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas