Berita

Penggiat silat perlu elak dari politik – Shahidan

SHAHIDAN (dua kiri) ketika merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 12 November 2021 11:19 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengingatkan kepada penggiat seni silat di seluruh negara untuk mengelakkan dari menyertai mana-mana parti politik.

Ini kerana katanya, seni silat ini harus menjadi seperti sukan kerana ia boleh menyatupadukan bangsa kerana rakyat Malaysia bersatu padu di bawah sukan.

“Sebagai contoh, permainan bola (sepak), badminton dan ramai pemainnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan rakyat Malaysia menyokong pemain-pemain tersebut.

“Demikian juga silat, kita berharap silat yang merupakan asas seni mempertahankan diri bangsa Melayu menjadi satu di antara badan yang boleh menyatupadukan orang Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya di sini hari ini.

Tambahnya, dalam keadaan orang melayu yang berpecah akibat perbezaan fahaman politik, beliau menasihatkan agar penggiat seni silat perlu tampil menjadi penyatu untuk bangsa melayu.

Terdahulu Shahidan merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang julung kali diadakan dan ia turut dicatatkan di dalam The Malaysia Book of Record sebagai penganjur pertama Festival Seni Silat secara maya dan turut diadakan Demonstrasi Aliran Pergurusan Silat Terbanyak secara maya yang melibatkan 46 aliran perguruan dari seluruh Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Nazari Ahmad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas