Berita

Safe Space galeri maklumat kesihatan mental

ANDREW Brien (tiga kiri) bersama Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah semasa merasmikan kempen ‘We Are With You’ di Suria KLCC hari ini.
- Diterbit 12 November 2021 1:23 PM MYT

SAFE Space @ Suria KLCC menjadi platform dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti menarik berkaitan kesihatan mental bermula 8 November sehingga 8 Disember ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Suria KLCC, Andrew Brien berkata Safe Space mengalukan kehadiran pengunjung dengan galeri maklumat mengenai kesihatan mental.

“Di situ, orang awam akan mengetahui lebih banyak maklumat mengenai kesihatan mental dari NGO terpilih dalam suasana menyenangkan. Aktiviti seperti bengkel, ceramah dan perbincangan panel oleh profesional dalam kesihatan mental akan diadakan untuk memperkasa ilmu mengenai kesihatan mental di kalangan orang awam.

“Diharap orang awam dapat didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai perkhidmatan kesihatan mental yang terdapat dalam negara ini di samping kesedaran mengenai bila dan di mana bantuan boleh diperolehi,” katanya.

Jelasnya lagi Suria KLCC telah bekerjasama dengan beberapa organisasi seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Befrienders KL serta Kumpulan Reben Hijau yang diasas oleh Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah.

Tambahnya penjualan Suria Ribbon Pin turut diadakan bagi pengumpulan dana.

“Pusat membeli belah ini juga turut mengadakan jualan Suria Ribbon Pin berharga RM10 setiap satu bagi mengumpul dana untuk disumbangkan serta membantu menjayakan aktiviti berkaitan kesihatan mental.

Safe Space @ Suria KLCC atau kesihatan mental secara amnya akan menjadi fokus jangka panjang Kumpulan Syarikat Suria KLCC sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk satu ke dua tahun akan datang,” jelasnya.

Safe Space @ Suria KLCC bertempat di Aras 1, Ampang Mall dan bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.

Dalam pada itu, Presiden MMHA dan penasihat polisu kepada Kumpulan Reben Hijau, Datuk Dr Andrew Mohanraj turut memuji inisiatif Suria KLCC dalam mengetengahkan isu kesihatan mental.

“Amatlah penting untuk masyarakat di Malaysia dididik secara berterusan mengenai kesihatan mental kerana rata-rata memandang serong terhadapnya.

“Pendidikan bermula dengan langkah pertama dan sebagai sebuah pusat membeli belah, Suria KLCC telah mengorak langkah dengan berani dalam mengelolakan kempen sepanjang sebulan ini,” kata Andrew. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas