Selebriti

“Pengenalan Tentang Seks Perlu Diajar Di Sekolah”- SCHA ELINNEA

|SCHA sedih seks luar nikah menyebabkan berlakunya gejala buang bayi.
- Diterbit 9 Ogos 2020 1:51 AM MYT

SEKS luar nikah adalah hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan. Inilah yang menjadi kerisauan ibu bapa malah pemimpin apabila ramai remaja melakukan seks luar nikah sedangkan tiada ikatan sah sebagai suami isteri.

Antara punca berlakunya gejala ini apabila kurangnya kasih sayang keluarga, pengaruh rakan sebaya dan internet serta kurang pengetahuan tentang seks.

Pelbagai langkah dan usaha yang telah dilakukan oleh banyak pihak untuk membendung masalah ini, namun ia tetap berlaku. Jadi, apakah cara penyelesaiannya?

Gejala negatif ini turut membuatkan pelakon Scha Elinnea berasa sedih dan risau dengan apa yang berlaku.

“Tidak dinafikan, ada yang berpendapat berkahwin dalam usia muda boleh mengelakkan berlakunya seks luar nikah. 

“Namun bagi saya, kahwin muda bukanlah satu keputusan konkrit untuk menghalalkan seks. Ini kerana, anak-anak muda perlu fokus akan apa yang ingin dicapai dalam kehidupan.

“Apatah lagi bagi seorang perempuan, perkahwinan itu satu perjudian. Bukan boleh sewenang-wenangnya mengambil keputusan untuk berkahwin kerana banyak faktor lain seperti tahap ekonomi yang perlu diambil kira,” jelas Scha Elinnea yang berharap ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawal tingkah laku anak-anak.

SCHA Elinnea sedih seks luar nikah menyebabkan berlakunya gejala buang bayi.

“Ibu bapa sepatutnya menjadi kawan dan sentiasa ada untuk anak-anak. Ini penting agar pergerakan serta perlakuan mereka dapat diawasi tanpa kongkongan. Remaja tidak suka dikongkong. 

“Dalam masa yang sama, pengenalan tentang seks juga perlu ditetapkan di sekolah agar remaja tahu kesan buruk jika melakukan seks luar nikah.

“Remaja kena tahu akibat seks luah nikah atau kesan negatif apabila melakukannya,” ujar Scha yang berasa sedih dan geram apabila bayi yang tidak bersalah dibuang. Ini semuanya adalah akibat seks luar nikah.  

“Bila dah hamil anak luar nikah, maka berlakunya kes pembuangan bayi. Ia bukan sahaja salah di sisi agama, malah satu jenayah yang menyebabkan mereka boleh dihukum. 

“Iyalah.. bila dah hamil mereka mula ‘menggelabah’ dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Rasa malu dan serba salah menyebabkan mereka membuang bayi yang dilahirkan.

“Ini adalah satu perbuatan kejam yang tidak sepatutnya terus terjadi dalam masyarakat kita.

“Jadi, tolonglah fikir akibat buruk kesan daripada seks luar nikah. Caranya? Zaman sekarang semua maklumat di hujung jari, jadi gunakanlah kemudahan ini,” tambahnya lagi.

Pasal kerjaya, Scha Elinnea atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen,21, sedang menjalani penggambaran drama bersiri Juliet terbitan Zeel Production.

Selain itu, Scha juga akan muncul dalam drama Cinta Yang Pulang, Cinta 24 Jam dan Dayang Senandung. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas