Selebriti

Walaupun PKP, RAIHAN Tetap Laris!

|Rakaman Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha ini disiarkan di saluran YouTube Ibnu Sina Wellness
- Diterbit 10 Ogos 2020 3:25 AM MYT

NAMA kumpulan nasyid Raihan tidak perlu diperkenalkan lagi. Datanglah mana-mana kumpulan nasyid, Raihan tetap berada di kelasnya tersendiri.  

Buktinya, setelah hampir 25 tahun aktif dalam industri muzik tempatan, Raihan tetap menjadi pilihan untuk banyak program.

Terbaru, Raihan terbabit dengan aktiviti pertama mereka selepas lebih tiga bulan berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19.

Raihan terlibat dalam program Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini,  anjuran Ibnu Sina Wellness, Kajang, Selangor.

“Kami gembira Raihan dipilih untuk terbabit sekaligus membuktikan nama Raihan masih kekal relevan dalam industri seni nasyid tanahair sepertimana kumpulan lain. 

“Raihan belum benar-benar aktif sepenuhnya. Program Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti ini ibarat pemanas badan dan insyaAllah dalam masa sebulan ini kami akan kembali aktif sepenuhnya.

“Penganjur pun dah mula kembali menghubungi Raihan dan perancangan sedang diatur. Mungkin juga bulan Ogos nanti akan ada program untuk kami,” kata salah seorang anggota Raihan, Che Amran.

Rakaman Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha ini disiarkan di saluran YouTube Ibnu Sina Wellness

Selain Che Amran, Raihan tidak lengkap tanpa pemilik nama Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim.

Che Amran melahirkan rasa bertuah  apabila Raihan terbabit dalam program Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti kerana Ibnu Sina Wellness adalah sebuah pusat perubatan berasaskan Ibnu Sina iaitu bapa perubatan moden.

Tambahan pula, Raihan sudah lama mengenali pengasasnya, Hakeema Rozainah Abdul Wahab sejak 1999.

Ketika itu Hakeema mengasaskan Sekolah Islam yang menerapkan tahfiz, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

 “Ia sesuatu yang jarang berlaku. Sekarang kami berjumpa semula dalam bidang yang berbeza. Tak sangka pula dia mempunyai ilmu perubatan Ibnu Sina.

 “Saya rasakan ia juga satu jihad perubatan yang betul-betul mengikut landasan Islam serta ada fitrahnya dan sesuai dengan kami juga yang ada melodi lagu zikir, selawat dan sebagainya,” katanya lagi. 

HAKEEMA Hargai RAIHAN

Bagi Hakeema Rozainah, dia tetap menghargai Raihan walaupun mereka adalah kenalan lama.  Hakeema tidak mengambil mudah soal bayaran. 

“Raihan adalah pejuang-pejuang Islam dan jiwa mereka lain. Saya memahami anggota Raihan mempunyai kos-kos yang perlu dibayar.

 “Justeru saya tetap membayar mereka mengikut kadar yang sepatutnya,” katanya yang menganggap program Takbir Raya 90 Minit ini banyak hikmahnya. 

“Kalimah takbir sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri sebagai penyembuhan jiwa dan roh. 

 “Ia adalah satu laungan kemenangan apabila berjaya menahan nafsu pada bulan Ramadan, apabila menunaikan haji dan banyak lagi,” ujarnya yang bakal bekerjasama lagi dengan Raihan pada masa akan datang.    

Rakaman Takbir Raya 90 Minit Tanpa Henti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha ini telah disiarkan di saluran YouTube Ibnu Sina Wellness pada malam Hari Raya Aidiladha lalu.

Kepada mereka yang belum sempat menonton, bolehlah ke laman Youtube tersebut. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas