Berita

Pengalaman Ellena Razif jadi sukarelawan PriVo

MENURUT Ellena, pengalaman lebih manis menjadi sukarelawan PriVo ketika musim pandemik ini.
- Diterbit 21 Ogos 2021 4:00 AM MYT

PELUANG menjadi sukarelawan di RumahPrihatin@GrandSeasons baru-baru ini telah membuka mata peguam muda, Ellena Razif mengenai kepentingan peranan golongan muda dalam bidang kesukarelawanan.

ELLENA RAZIF

Malah katanya, ribuan sukarelawan belia di seluruh negara sudah memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka untuk menolak segala kata negatif mengenai bahaya terdedah dengan virus COVID-19 apabila turun ke lap-angan bagi membantu masyarakat.

Dia yang menyertai pasukan Sukarelawan Prihatin (PriVo), turut memberitahu, PriVo berbeza dengan program sukarelawan yang pernah disertainya kerana ia berlangsung ketika musim pandemik dan dalam situasi yang merbahaya.

Katanya, meskipun terdapat kekangan dari segi pergerakan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, namun masih ramai yang ingin menyertai PriVo untuk bersama-sama turun padang dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, Ellena menyifatkan program seumpama itu mempunyai kenikmatan tersendiri dan pengalaman yang cukup manis kerana dapat membantu orang ramai pada musim pandemik.

Menurutnya lagi, ia memerlukan semangat tinggi serta mental yang kuat demi membantu mereka yang memerlukan bantuan dan pertolongan walaupun terdedah dengan jangkitan virus yang semakin meningkat saban hari.

“Walaupun kita berada dalam keadaan pandemik, dalam keadaan SOP yang ketat, janganlah kita takut ataupun kita berasa tidak bermotivasi untuk sertai sukarelawan kerana sebenarnya bila kita buat perkara sebegini pada waktu ini, pengalaman itu lebih manis. Nikmat dia lain kerana kita tolong orang pada musim pandemik.

“Kita kena pergi dan tengok sendiri wajah mereka apabila kita memberikan sumbangan, mereka sangat menghargai dan kita juga rasa kita dah membuat sesuatu untuk negara dan saya rasa itulah yang membuatkan saya lebih bersemangat setiap kali saya sertai program ini sebab saya nampak impak tu memang ada,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Rabu. — WILAYAHKU — SABRINA SABRE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas