Berita

Labuan role model ‘Malaysia Prihatin’ tangani COVID-19

BASHIR (dua dari kiri) bersama Rithuan(hujung kiri) bersama Ketua Polis Labuan merasmikan pelepasan Konvoi IOW Merdeka yang diketuai Jabatan Penerangan Labuan.
- Diterbit 21 Ogos 2021 3:00 AM MYT

WILAYAH Persekutuan Labuan menjadi contoh terbaik dalam menterjemahkan tema ‘Malaysia Prihatin’ dalam setiap tindakan yang dilaksanakan bagi menangani krisis penularan pandemik COVID-19.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata, kejayaan yang dikecapi oleh Labuan adalah atas kerjasama daripada semua pihak yang bersama-sama melaksanakan pelbagai langkah yang berkesan untuk menangani penularan COVID-19 di pulau ini.

Katanya, kesepaduan yang erat ini amat selari dengan semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’.

“Alhamdulillah, Wilayah Persekutuan Labuan sudah pun berjaya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 4 Ogos lalu, ini adalah hasil daripada kemuafakatan seluruh jentera kerajaan, swasta, NGO dan rakyat Labuan yang teguh bergading bahu memerangi penularan COVID-19 di wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Labuan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Labuan, pada Sabtu lalu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Mohd Ismail, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila, Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa dan ketua-ketua jabatan kerajaan dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Dalam pada itu, Bashir menegaskan bahawa kejayaan yang dikecapi hanyalah satu permulaan perjalanan baharu yang masih panjang untuk dilalui bersama.

“Marilah kita ambil semangat kemerdekaan Negara yang ke 64 tahun ini sebagai azimat untuk kita semua terus komited berjuang bagi memerdekakan Negara terutamanya pulau yang kita cintai ini dari cengkaman COVID-19.

“Saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi serta semua usaha untuk menambah baik situasi kini terus diperhebatkan,” katanya lagi. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas