Berita

RumahPrihatin@GrandSeasons salur bantuan barangan, tunai kepada mangsa bencana alam

PENGASAS RumahPrihatin@Grand Seasons, Tan Sri TPr Annuar Musa melepaskan konvoi bantuan mangsa bencana alam di Jerai dan Merbok, pagi tadi. Gambar - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 21 Ogos 2021 5:40 AM MYT

RUMAHPrihatin@GrandSeasons menghantar bantuan bernilai lebih RM100 ribu kepada hampir 1,000 keluarga mangsa bencana alam di Jerai dan Merbok hari ini.

Pengasasnya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, antara barangan yang di berikan adalah bakul makanan, pakaian, dan juga pakaian ibadat serta bantuan tunai untuk menyewa jentera berat.

“Dengan apa yang kita ada dan dengan jaringan yang kita ada, kita dapat kumpulkan barangan keperluan, dan setiap satu item itu kosnya adalah RM15,000.

“Kita adalah lebih kurang lima item dan itu sudah hampir RM100 ribu lebih dan hari ini kita hantar hampir 1,000 unit setiap item yang ada telekung, kain dan juga barang bantuan makanan segera,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi bantuan ke dua kawasan itu di RumahPrihatin@GrandSeasons di sini hari ini.

Annuar berkata, pihaknya turut menghantar bantuan tunai kepada pemimpin di kawasan itu untuk menyewa jentera berat.

“Mereka memerlukan kepada jentera berat, sepeti case, excavator dan sebagainya untuk mengalihkan kayu-kayu yang tumbang kerana keadaan itu seperti tsunami kecil dan banyak melibatkan banjir lumpur yang sukar hendak dibersihkan dengan cara manual,” katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak dapat menghantar sukarelawan untuk membantu penduduk yang terjejas dengan tragedi tersebut kerana faktor jarak yang jauh.

“Jadi kita hantar bantuan. Kita harap rombongan 30 orang ini sedikit sebanyak dapat memberikan sokongan moral kepada adik kakak kita di sana,” katanya.

Jelasnya, RumahPrihatin yang menekankan konsep kecaknaan dan keprihatinan tampil untuk membantu mangsa yang terjejas di kawasan tersebut sekalipun ia di luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas