Pengalaman disuntik vaksin
PERJALANAN lancar jika anda patuh pada waktu yang diberikan.

Pengalaman disuntik vaksin

PENULIS menerima vaksin di PPV WTCKL baru-baru ini.

RYAN HO

PENERIMA VAKSIN COVID-19

“HAI boleh saya bantu. Sini encik, arah sini. Encik duduk dulu, nanti kami akan panggil ya.” Itu antara sapaan mesra petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kepada penerima yang hadir untuk divaksinasi.

Saya telah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca pada 5 Mei manakala dos kedua pada 7 Julai 2021.

Setiap orang pasti akan melalui pengalaman yang berbeza di PPV masing-masing ketika melalui proses pemberian suntikan vaksin COVID-19 ini.

Pengalaman yang saya lalui semasa proses divaksinasi ini cukup membuatkan saya bangga dan gembira.

Mana tidaknya, proses yang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit itu sangat cekap susun aturnya daripada mula sehingga ke langkah yang terakhir.

Saya akui, pada mulanya perasaan gementar untuk melalui proses tersebut memang wujud, tetapi perasaan itu hilang setelah menjejakkan kaki ke PPV kerana petugas dan sukarelawan yang bertugas di sana sangat membantu.

Tak sempat anda nak bertanya soalan, mereka sendiri yang akan datang kepada anda untuk menghulurkan bantuan.

Proses yang dilalui juga sangat cepat dan lancar.

Pertama, penerima akan diminta untuk menunggu sebentar sementara petugas memberi borang untuk diisi.

Butiran seperti nama dan nombor kad pengenalan diperlukan di dalam borang tersebut.

Kemudian, penerima akan pergi ke kaunter seterusnya untuk petugas memasukkan data ke dalam sistem komputer bagi tujuan penyimpanan data.

Ketika ini petugas akan bertanya dengan lebih lanjut mengenai pekerjaan, alahan ubatan dan membuat pengesahan butiran diri penerima vaksinasi.

Setelah selesai, penerima perlu pergi ke tempat yang dikhaskan untuk penerimaan vaksinasi.

Jangan bimbang, petugas dan sukarelawan akan berada di setiap bahagian dewan, anda pasti tidak akan ‘sesat’. Jangan malu untuk bertanya, mereka pasti akan membantu.

Di dewan tersebut, penerima sekali lagi perlu ke kaunter yang disediakan bagi menandatangani borang yang telah diisi.

Ketika proses ini, petugas akan menerangkan kepada penerima mengenai jenis dan negara keluaran vaksin yang akan diterima. Petugas juga akan memberitahu mengenai selang masa dos vaksin pertama dan kedua.

Penerima boleh bertanya apa sahaja soalan jika terdapat kemusykilan.

Setelah itu, penerima boleh bergerak ke bilik khas untuk menerima vaksin.

Di dalam bilik menerima suntikan, petugas perubatan akan menunjukkan cecair vaksin dan jumlahnya iaitu 0.5ml sebelum disuntik kepadapenerima.

Selesai! Setelah divaksinasi penerima perlu ke ruangan khas untuk berehat selama 15 minit.

Jika terdapat apa-apa alahan selepas vaksin diterima, sila maklumkan kepada pegawai bertugas. Mudahkan? Jangan lupa ambil kad pengesahan vaksinasi sebelum pulang dan ambillah gambar di bingkai foto “saya sudah divaksin” yang disediakan sebagai kenangan.

Saya yakin bukan PPV WTCKL ini sahaja, malah semua PPV diseluruh negara akan  memberikan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik buat rakyat.

Penghargaan harus diberikan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), petugas barisan hadapan, Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan pengurusan PPV kerana berjaya merancang dan menguruskan perjalanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) agar semuanya berjalan lancar.

Ketika PICK mula dilancarkan, kita mendengar ada beberapa buah PPV yang mengalami kesesakan.

Itu perkara biasa untuk perkara atau benda baharu kerana masing-masing masih belum biasa dengan keadaan tersebut.

Jika anda patuh waktu janji temu yang diberikan, dan mengikut arahan petugas dan sukarelawan di PPV, perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.

Sebanyak 421,479 dos suntikan vaksin diberikan pada 12 Julai lalu sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam sehari (setakat artikel ini ditulis) dan melepasi sasaran kerajaan untuk mencapai 300,000 dos suntikan sehari, malah turut mengatasi negara-negara lain seperti UK.

Jika jumlah ini dikekalkan sehingga penghujung bulan Julai ini, saya percaya, kita dapat membentuk komuniti kelompok dengan lebih cepat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kes positif harian.

Bagi mencapai imuniti kelompok dengan cepat, kita bukan sahaja perlu mengekalkan  jumlah pemberian vaksin harian malah kita perlu menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin, kerana itu sahaja cara buat masa sekarang ini untuk kita terhindar daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Kita perlu berhenti mempercayai dakyah antivaksin mengenai keburukan vaksinasi ini.

Saya tahu ada antara kita yang terpengaruh dengan konspirasi bahawa vaksin COVID-19 ini mengandungi cip yang boleh mengesan kedudukan manusia, tetapi perkara itu sudah dibidas dan diperjelaskan oleh pakar perubatan.

Jangan mudah terpedaya, kerajaan tidak akan melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Bagi mereka yang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera tetapi masih belum mendapat tarikh janji temu, jangan bimbang.

Anda akan menerima tarikh janji temu anda, kerana itu jaminan kerajaan, tambahan pula negara telah menerima bekalan vaksin dalam kuantiti yang banyak pada bulan ini.

Tidak dinafikan penglibatan klinik swasta sebagai PPV turut menyumbang kepada sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Proses suntikan di klinik-klinik swasta juga disifatkan lebih selesa dan mengurangkan risiko penularan kerana tidak berkumpul di tempat yang sesak.

Semoga Malaysia akan capai imuniti kelompok dalam tempoh yang disasarkan supaya kita semua boleh kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

Jangan jemu untuk semak aplikasi MySejahtera anda, masa anda untuk divaksinasi akan tiba juga.

Lindung diri, lindung semua. Kita menang bersama!

JANGAN malu untuk bertanya petugas dan sukarelawan akan membimbing anda supaya tidak sesat.

CATEGORIES