Berita

Kes positif COVID-19 di Labuan menurun

JABATAN Kesihatan Labuan melakukan pengesanan kes aktif (ACD) di Skim
- Diterbit 18 Julai 2021 12:00 PM MYT

KADAR jumlah kes positif COVID-19 di Pulau Bebas Cukai itu kini mencatatkan trend penurunan dan kadar kebolehjangkitan R-naught (Rt) turut mencatatkan penurunan dari 2.0 kepada 0.86 kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Beliau berkata perkembangan positif itu dijangka akan kekal pada minggu ini dengan penurunan sekurang-kurangnya kepada 700 kes.

“Dari segi kadar kebolehjangkitan pula, jumlah nilai positif R-naught (Rt) tertinggi direkodkan adalah melebihi 2.0 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke 20 dan ia telah menurun kepada 0.86 pada 8 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, program pemberian vaksinasi kepada penduduk Labuan bakal mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada minggu akhir Julai ini.

Sehingga 8 Julai, seramai 57,243 (83.57%) populasi dewasa di Labuan telah menerima suntikan dos pertama manakala seramai 22,049 (32.19%) telah menerima kedua-dua dos vaksin.

Annuar berkata, sebelum ini, Wilayah Persekutuan Labuan sudah mencatatkan 8,922 kes COVID-19, dengan peningkatan kes tinggi ini adalah disebabkan serangan varian membimbangkan (VOC) Delta B.1.617.2 yang mula dikesan di sana pada 23 April lalu.

“Jawatankuasa Bencana Labuan dan Jabatan Peneraju, Jabatan Kesihatan Labuan mengambil tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan syarat kemasukan tambahan termasuk mewajibkan RT-PCR, kuarantin dan kawalan program ekonomi termasuk perkapalan.

“Program sanitasi COVID-19 terancang dilaksana di kawasan bersasar yang membabitkan saringan bersasar (active case detection) serta program pemantauan khas membabitkan kawasan yang menjalani PKPD bagi memastikan kes terkawal,” katanya.

Selain itu katanya, program surveilan yang meneliti varian VOC Delta B.1.617.2, corak jangkitan, epidemiologi COVID-19 dan perancangan kawalan COVID-19 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program promosi dan pendidikan kesihatan termasuk program khas “Rumah Bebas COVID-19” dijalankan di samping program penguatkuasaan bersepadu diketuai oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata, program ‘risk communication’ dilaksana untuk mengawal penyebaran maklumat yang boleh membawa kepada situasi panik dalam kalangan orang ramai di samping pembinaan Hospital Medan bagi menyokong perkhidmatan Hospital Labuan sedia ada.

“Saya juga ingin mengingatkan warga Labuan untuk mengamalkan norma baharu menjadi sebahagian daripada kehidupan dan juga memastikan kepatuhan kepada SOP dan PKP bagi melindungi diri dan mereka yang disayangi,” katanya lagi. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas