Berita

Penerbitan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! tidak dihentikan

UTUSAN
ABD. AZIZ
- Diterbit 20 Ogos 2019 12:29 PM MYT

PUTRAJAYA – Operasi penerbitan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! tidak akan dihentikan.

Tegas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. (Kumpulan Utusan), Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir, pihak pengurusan tidak berminat untuk menutup operasi dan menghentikan penerbitan akhbarnya yang telah berusia lebih 80 tahun.

Justeru, beliau merayu kepada pembaca setia dan juga orang Melayu untuk terus memberi sokongan dengan membeli setiap naskah atau melanggan e-paper syarikatnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan isu penutupan operasi sekiranya keadaan mendesak berikutan perkara tersebut merupakan salah satu cadangan yang disuarakan pengurusan kanan dan ketua-ketua jabatan Kumpulan Utusan ketika membincangkan hala tuju penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua itu.

“Namun sampai ke saat ini, saya amat optimistik untuk melihat operasi Kumpulan Utusan diteruskan walaupun kita mempunyai kekangan di mana kerugian setiap hari adalah sekitar RM2 juta hingga RM3 juta.

“Apa pun, pihak pengurusan sudah membuat keputusan termasuk mengunjur kemampuan Kumpulan Utusan untuk kembali ke landasan yang lebih baik sehingga September 2020. Untuk itu, saya mohon tuan-tuan dan puan-puan untuk terus memberikan sokongan agar kita dapat melihat kembali kegemilangan akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan mendapat jualan yang diinginkan,” katanya yang dipetik dari laman berita, kitareporters.

Beliau berkata demikian kepada lebih 300 kakitangan Kumpulan Utusan termasuk wartawan dan jurufoto serta kakitangan pengkeranian di Dewan Besar Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur hari ini.

Kakitangan Kumpulan Utusan sehingga kini masih belum menerima gaji bulanan sejak dari Jun lepas dan yang terakhir, memorandum pekeliling Jabatan Sumber Manusia menyatakan pendahuluan sebanyak maksimum RM2,000 akan diberikan malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd. Aziz turut berkata, jika ada usahawan yang ingin memiliki Kumpulan Utusan, beliau dan UMNO rela melepaskan saham majoriti yang dipegang namun perlu memastikan hal ehwal dan kebajikan pekerja terjamin.

“Jika esok, tiba-tiba kata, ada orang minat nak beli, saya sanggup. Saya memang sudah (tandatangan) pun surat pemindahan saham siap-siap. Saya tak ada masalah,” tegasnya.

Sehubungan itu, sebagai langkah jangka pendek dalam mengembalikan pendapatan syarikat, beliau mengumumkan untuk menaikkan harga kedua-dua akhbar terbitan Kumpulan Utusan.

Menurut beliau, Utusan Malaysia akan dinaikkan dari RM1.50 ke RM2, manakala Kosmo! akan dinaikkan dari RM1 ke RM1.50.

Eksesais berkenaan kata beliau, mampu untuk mengurangkan bebanan kerugian harian dan sedikit sebanyak dapat menampung kos gaji pekerja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas