Berita

Mohd. Anuar dinaikkan pangkat KP PLANMalaysia

KP PLANMALAYSIA
MOHD. ANUAR
- Diterbit 21 Ogos 2019 10:18 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sejurus selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah PLANMalaysia yang baharu pada 19 Ogos lalu, Datuk TPr Mohd. Anuar Maidin, 59, terus menjalankan amanah sebagai urusetia mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan PLANMalaysia dinaikkan pangkat bagi menggantikan Datuk TPr Rokibah Abdul Latif yang bersara wajib pada 10 Ogos lalu.

Mohd. Anuar memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perancangan Bandar dan Desa di Bahagian Luar Bandar, Ibu Pejabat Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia pada Jun 1983 sebelum dilantik sebagai Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu pada Februari 1985.

Pada 2007, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Sembilan selain berkhidmat di beberapa negeri termasuk negeri kelahirannya, Terengganu (2011) dan Pulau Pinang (2015). Pada 15 Mac 2018 beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perancangan PLANMalaysia sehingga 18 Ogos lalu.

Anak jati Dungun ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar Bandar dan Wilayah (Kepujian) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1983 dan Sarjana Perancangan (Teknologi Maklumat) universiti yang sama pada 2004. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas