Berita

Penduduk rayu selesai isu tanah mendap

KEADAAN longkang yang rosak dan tidak diselenggara menyebabkan berlaku mendapan
- Diterbit 29 Mac 2024 1:29 PM MYT

PENDUDUK Kampung Belukut di sini bimbang ekoran masalah tanah mendap di jalan utama di kawasan itu dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk di kampung dan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukut, Asmadi Ahmad berkata masalah tersebut berpunca daripada keadaan pembentung (culvert) dan saliran air di jalan itu dilihat tidak mampu menampung kuantiti aliran air hujan sejak dua tahun lalu.

Katanya, berikutan masalah tersebut, jalan utama yang merupakan laluan keluar masuk yang digunakan penduduk di kampung berkenaan mengalami mendapan tanah dan menyebabkan lubang sedalam satu meter terbentuk di bahu kiri dan kanan jalan.

“Jika kita melihat permukaan jalan ini, ianya memang dalam keadaan yang baik dan cantik kerana tiada sebarang keretakan pada jalan ini. Namun jika dilihat dibawah pembentung (culvert) tanah di jalan ini telah pun mendap dan seperti menunggu masa sahaja untuk runtuh dan musnah.

“Perkara ini amat penting kerana ianya bukan sahaja melibatkan kemudahan dan keselesaan penduduk di sini tetapi ia juga satu perkara yang boleh mengancam keselamatan orang ramai khususnya penduduk kampung ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Asmadi memberitahu sekiranya masalah tersebut tidak diberikan perhatian secara serius untuk diatasi dengan segera dijangkan puluhan buah keluarga yang menggunakan jalan ini setiap hari akan terputus hubungan sekiranya ia runtuh.

Beliau bersama-sama dengan penduduk kampung telah mengemukakan aduan dan permohonan mengenai isu tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab, namun tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

“Susulan daripada sistem perparitan dan pembentungan yang tidak diselenggara, sebahagian rumah penduduk di kawasan tanah rata sering di tenggelami air ketika musim hujan,” katanya.

Asmadi berkata pihaknya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa namun mengharapkan pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

“Isu ini berpunca daripada perparitan dan pembentungan yang tidak sudah lama diselenggara sehingga menyebabkan ia tersumbat.

“Perkara ini telah berlanjutan lebih dua tahun dan kami berharap perkara ini dapat diberikan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab agar penyelesaian terhadap isu ini dapat dilakukan secepatnya,” katanya.

Bagi penduduk, Azhari Razak,49, menyatakan bahawa masalah dihadapi sejak tahun 2021 menjadi lebih teruk bermula tahun lalu apabila rumah yang diduduki serta sepuluh buah rumah lain dinaiki air.

“Pada mulanya air hanya bertakung di jalan raya tetapi kini kami terpaksa membersihkan lantai dalam rumah selepas air naik sehingga paras buku lali selain menyebabkan perabot rosak dan terpaksa dibuang.

“Kerana keadaan longkang yang kecil dan tidak diselenggara apabila waktu hujan, ia mengakibatkan kawasan rumah saya dan beberapa rumah di kawasan tanah rata ini di tenggelami air dan ini lah punca kenapa tanah mendap berlaku.

“Kita amat berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya seperti membesarkan longkang di hadapan taman ini supaya air dapat mengalir ketika hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Kadir Yusof,64, menggesa pihak berkuasa untuk menyelenggara longkang secara berkala di samping membesar dan melebarkan lagi supaya ia dapat menampung aliran air hujan berikutan keadaan kawasan kampung ini yang berbukit.

Mengakui tidak tidur lena setiap setiap kali waktu hujan lebat terutama pada waktu malam, Kadir berkata masalah longkang yang tersumbat telah menyebabkan kawasan tersebut sering dinaiki air.

“Selama kami di sini dan menghadapi isu ini, saya akui tidak boleh tidur apabila waktu hujan terutama pada waktu malam kerana khuatir limpahan air longkang masuk ke dalam rumah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas