Berita

Penduduk Labuan digesa daftar segera untuk vaksinasi

AHLI Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menggesa penduduk tempatan supaya mendaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan membawa kepada imuniti berkelompok di pulau itu. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 2 Jun 2021 8:50 AM MYT

PROSES pendaftaran untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 di sini dilihat berjalan dengan agak perlahan, dengan hanya 56.14 peratus penduduk pulau ini yang telah mendaftar setakat semalam.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menggesa penduduk tempatan supaya mendaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu, program yang telah berlangsung sejak empat bulan lepas.

Beliau berkata jumlah penduduk mendapat vaksinasi yang ramai pastinya akan membawa kepada imuniti berkelompok di pulau itu.

“Ketepikan perbezaan politik, bersamalah dengan barisan hadapan kita untuk memupuk imuniti berkelompok dalam komuniti, lebih pantas kita capai imuniti ini, lebih awal kita selesaikan isu pandemik,” katanya kepada Bernama.

Labuan ketika ini masih dikaitkan dengan empat kluster aktif yakni kluster Patau-Patau, Victoria Merdeka, Simpang Sahari dan Simpang Sungai dengan 4,043 kes setakat ini.

Sementara itu pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata proses pendaftaran yang perlahan ketika ini mungkin disebabkan masih ramai penduduk tidak mempunyai aplikasi MySejahtera.

“Sesetengah warga emas di pulau ini tidak mempunyai telefon bimbit, tapi Majlis Perwakilan Penduduk ketika ini sedang mengambil inisiatif membantu mereka untuk mengisi borang pendaftaran untuk vaksinasi,” katanya.

Rithuan berkata sejumlah 40, 643 daripada 103,000 penduduk Labuan sudah berdaftar setakat ini.

“Kami menyasarkan untuk menamatkan proes vaksinasi ini sepenuhnya pada bulan November ini, atau mungkin lebih awal. Kami sedang menyegerakan vaksinasi di ketiga-tiga pusat vaksinasi di sini yang terdiri daripada Hospital Labuan, Dewan JKR dan Dewan Darul Kifayah,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas