Berita

Sukan rapatkan hubungan kaum

KHALID (tengah) bergambar bersama pemain yang menyertai Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Shah Alam, baru-baru
- Diterbit 16 Januari 2020 8:31 AM MYT

SHAH ALAM – Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 yang julung-julung kali diadakan baru -baru ini membuka dimensi baharu dalam hubungan di antara rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Pertandingan itu mewajibkan setiap pasukan penampilkan pemain berbagai kaum dianjurkan ketika segelintir pihak meniupkan sentimen kaum dan agama dalam pelbagai isu sejak kebelakangan ini.

Ia melontarkan satu mesej penting bahawa rakyat Malaysia perlu bersatu padu melawan pihak yang cuba menjadikan isu perkauman sebagai senjata politik untuk memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, cara terbaik untuk melawan pihak yang gemar memainkan isu perkauman adalah dengan menghantar mesej perpaduan sebagai rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia berbilang kaum sentiasa menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita, ini merupakan satu mesej yang cukup penting.

“Kita perlu ulangi berkali-kali dan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana pihak yang tidak setuju dan tidak menyokong kerajaan semasa cuba timbulkan isu perkauman dan semua isu dikaitkan dengan soal kaum, inilah perkara yang kita harus lawan,” katanya selepas merasmikan pertandingan bola sepak tersebut di Stadium Rhino KV Arena Shah Alam baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Shah Alam itu turut dihadiri legenda bola sepak tanah air, Datuk Soh Chin Aun; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, salah satu cara untuk menyampaikan mesej perpaduan adalah dengan menganjurkan pertandingan sukan.

“Pertandingan yang pertama kali dianjurkan ini berjaya mengumpulkan 16 pasukan dengan disertai pemain dari kaum berketurunan India, Melayu, Cina, Iban dan Murut,” katanya.

REAKSI pemain bola sepak

Saya amat gembira apabila diberi peluang bermain dalam suasana yang muhibah, harmoni dan dalam semangat berpasukan. Pihak penganjur berjaya memecah tembok perkauman melalui penganjuran sukan bola sepak ini sekali gus ia membina perpaduan.
JASON LIM, 29.

 

 

Pada peringkat permulaan sudah pasti agak kekok namun kami membuat sesi ‘ice
breaking’ terlebih dahulu dan seterusnya boleh bermain dengan baik. Ini merupakan satu penganjuran yang bagus dan ia perlu diteruskan dan dapat mengajar generasi muda mengenai perpaduan itu merupakan kepentingan kepada semua kaum.

G. HARVINDER SINGH, 25.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas