Berita

Penduduk gesa Datuk Bandar tunai janji

MEMORANDUM RUMAH
AZMI (tiga dari kiri) menerima memorandum dari Setiausaha Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Kepong di sini hari ini.
- Diterbit 13 September 2019 9:42 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Kepong di sini menghantar memorandum bagi menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memulakan pembinaan rumah ganti dengan kadar segera.

Setiausahanya, Ameer Khan Bargathalli berkata, Nor Hisham telah berjanji untuk memulakan pembinaan dalam tempoh dua bulan dari tarikh lawatan tapak bersama pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 30 Januari lalu.

“Di hadapan kira-kira 300 penduduk, beliau telah berjanji untuk memulakan pembinaan rumah ganti dalam tempoh kira-kira dua bulan dari tarikh itu setelah semua peraturan pembangunan diselesaikan.

“Namun sehingga hari ini, pihak pemaju tidak melaksanakan apa-apa kerja berkaitan untuk membina rumah ganti kepada penduduk yang terjejas,” katanya kepada media di perkarangan Menara DBKL di sini hari ini.

Menurut Ameer Khan, sebanyak 525 unit rumah telah disenaraikan untuk diroboh manakala 138 lagi telah dirobohkan.

“Kami akui pihak pemaju telah memberikan wang sewa rumah kepada penduduk yang terlibat sebanyak RM700 untuk sebuah rumah, namun ia tidak mencukupi kerana kos sewa rumah di kawasan itu sangat tinggi dan membebankan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid menjelaskan, pihaknya akan meneruskan proses tersebut sehingga kelulusan pembangunan dapat dikeluarkan oleh jabatan yang terlibat.

“Penduduk perlu faham untuk sebarang pembangunan memerlukan proses tertentu yang perlu dipatuhi. Pembangunan ini melibatkan aspek teknikal dan fizikal yang rumit dan proses itu sedang dilaksanakan,” katanya.

Ujar Azmi, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya tiga minggu Perintah Pembangunan (DO) akan dikeluarkan oleh jabatan terlibat.

“Sebenarnya diperingkat tapak, telah dinaikkan papan hording dan proses pembersihan tapak juga sudah dimulakan.

“Kita juga sudah bina pejabat tapak di kawasan berkenaan dan cuma masih tidak dibenarkan untuk memulakan proses pembinaan kerana belum mendapat kelulusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas