Berita

Pentingnya MPFN dalam pembangunan negara

MOHD. ANUAR
- Diterbit 13 September 2019 9:44 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) memainkan peranan penting dalam setiap perancangan pembangunan sekali gus mengelakkan insiden tidak diingini termasuk bencana alam.

Ketua Pengarah PLANMALaysia, Datuk TPr. Mohd. Anuar Maidin berkata, MPFN merupakan satu jawatan kuasa tertinggi di peringkat negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dianggotai semua Menteri Besar,
Ketua Menteri termasuk menteri-menteri di kementerian yang terlibat.

Ujar beliau, pada masa ini, Menteri Wilayah Persekutuan berkuasa penuh selepas PLANMalaysia diletakkan di bawah bidang kuasanya tetapi ada juga menteri-menteri lain di kementerian utama yang bertanggungjawab seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan, Kementerian Tenaga, Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kemen­terian Pengangkutan.

“Terdapat juga jawatankuasa teknikal yang saya pengerusikan dan satu lagi jawatan kuasa kawal selia, untuk memproses permohonan-permohonan mega yang disyaratkan untuk bawa kepada MPFN.

“Pembangunan mega adalah pembangunan-pembangunan melebihi 100 hektar dan melibatkan pembangunan sensitif seperti di kawasan tinggi, tambakan dan pembangunan infrastruktur utama seperti lebuh raya, lapangan terbang, pelabuhan dan pusat loji nuklear,” ujarnya.

Menurut beliau, bagi membantu MPFN, kajian rancangan fizikal negara dilaksanakan dan pada masa ini terdapat rancangan fizikal negara keempat yang mana ia di­sediakan setiap lima tahun sekali selari dengan Rancangan Malaysia Keempat.

“Kita juga ada peranan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT). Mungkin peranan itu lebih jelas semasa kita berada di bawah KPKT dahulu apabila kita juga menyediakan pelan-pelan tempatan,’’ katanya.

‘‘Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) turut mempunyai peranan atau hubungan terus antara PLANMalaysia dengan PBT walaupun kita telah diletakkan di luar KPKT,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Anuar turut memetik petikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika imempengerusikan MPFN kali ke-32 baru-baru ini iaitu fungsi utama MPFN adalah untuk menasihati Kerajaan Persekutuan serta negeri-negeri mengenai hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara secara keseluruhannya.

Selain itu, ujar beliau, pe­rancangan bandar dan desa perlu dilihat sebagai suatu alat yang berkesan untuk menambahbaik alam sekitar ke arah pencapaian pembangunan mampan serta sebarang cadangan pembangunan yang dikemukakan perlu memberi penekanan terhadap impak kepada alam sekitar.

“Isu-isu pencemaran yang telah berleluasa kini, jika tidak ditangani seiring dengan pertambahan penduduk akan memberi kesan yang lebih buruk,” katanya.

Mohd. Anuar turut me­nyatakan bahawa Dr. Mahathir ada menegaskan, semua kerajaan negeri dan PBT perlu mementingkan bebe­rapa aspek dalam cadangan pembangunan perumahan kos rendah dan mampu milik antaranya tidak meratakan tanah sebaliknya dibangunkan mengikut topografi semula jadi bagi memelihara alam sekitar dan memberikan impak visual yang lebih mena­rik kepada bakal pembeli.

Selain itu ujarnya, kemudahan seperti kawasan riadah perlu disediakan dan memberi peluang kepada penduduk untuk menambah pendapatan di kawasan kediaman dengan menyediakan kedai-kedai di dalam kawasan tersebut.

“Keindahan bandar ditingkatkan melalui penanaman spesies bunga yang berwarna-warni dan lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia seperti bunga kertas,’’ kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas