Berita

Penduduk di zon hijau jangan ambil mudah

SEKATAN jalan raya tetap dijalankan walaupun Perlis sudah diletak bawah zon hijau. Foto Jabatan Penerangan Perlis
- Diterbit 25 April 2020 10:42 AM MYT

PUTRAJAYA – Penduduk kawasan zon hijau Covid-19 dilihat mula mengambil mudah dengan situasi tiada kes jangkitan baharu dilaporkan di kawasan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya amat bimbang dengan situasi berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat yang dikeluarkan kerana memikirkan wabak ini hampir selesai.

“Hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini belum tiba ke penghujungnya.

“Virus Covid-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingat kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat adalah sekutu kepada virus ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat termasuk di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau supaya tidak leka dan kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Amalkan perjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter serta kebersihan diri dan kerap mencucui tangan dengan sabun.

“KKM akan terus memantau perkembangan Covid-19 melalui maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas