Berita

13 jenis barang sumbangan diedar berperingkat

ANNUAR memaklumkan penambahbaikkan sumbangan ketika LIVE Facebook hari ini.
- Diterbit 25 April 2020 9:41 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan 13 jenis barang sumbangan untuk diedarkan secara berperingkat kepada penduduk yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya di enam blok sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, penambahbaikan tersebut dibuat selepas menerima permintaan berkenaan sistem pengedaran dan jumlah makanan asas yang diperlukan.

“Bahan makanan telah diminta tambah supaya cukup untuk tempoh satu minggu bermakna dalam tempoh dua minggu akan ada dua kali penghantaran yang terdiri daripada beras, gandum, minyak, gula, sardin dan makanan tambahan seperti mi segera, biskut, serbuk teh serta ikan bilis.

“13 item semua sekali yang diberikan secara berperingkat. Saya memeriksa dan merasakan ia cukup untuk tempoh satu minggu. Untuk minggu kedua akan dibuat beberapa hari lagi,” katanya dalam sidang LIVE Facebook hari ini.

Mengulas tentang bantuan kemanusiaan untuk penduduk bukan warganegara pula, jelas Annuar, mereka yang terlibat akan menerima sekampit beras 10 kilogram, gandum, minyak dan sardin.

“Seperti yang tahu, beberapa kedai runcit dibenarkan beroperasi bagi membolehkan semua penduduk mendapat bekalan seperti biasa.

“Semalam, atas permintaan penduduk yang ingin membeli bahan mentah basah seperti sayur dan ikan, kita sudah bersetuju untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pembekal  mengaturkan jadual iaitu dua kali seminggu untuk lori membekalkan barang basah.

“Saya berharap semua penduduk di keenam-enam blok terlibat tidak mempunyai sebarang masalah bekalan makanan,” katanya yang turut yakin bekalan makanan tidak akan terputus.

Menurut Annuar, pihaknya juga menerima tajaan bekalan makanan untuk berbuka puasa seperti kurma dan bubur lambuk daripada individu atau yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya semua penduduk terlibat di bawah PKPD menjalani ujian saringan Covid-19 dan saringan dijangka selesai dalam tempoh lapan hari.

Tambah beliau, tiga buah ambulan turut disediakan di kawasan berkenaan untuk kes kecemasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas