Berita

Lanjutkan PKPD di Selangor Mansion dikaji

PKPD di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan sekitar Jalan Masjid India telah ditamatkan semalam. KAWASAN Selangor Mansion dan Malayan Mansion diletakkan di bawah PKPD.
- Diterbit 25 April 2020 11:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Selangor Mansion yang akan berakhir Selasa depan akan diteliti sama ada perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini pihaknya meneliti dan merekodkan setiap kes di kawasan berkenaan.

“Sama ada PKPD di situ dilanjutkan atau tidak, kita masih memantau. Saringan yang dibuat bukan hanya sekali malah ada kes berkali-kali kita saring,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus memantau warga asing yang sudah dikenal pasti di kawasan berkenaan.

“Kalau ada kes yang positif, kita akan pastikan pengesanan kontak rapat termasuk kawan dan keluarga mereka,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan seramai 14,187 warga asing sudah disaring dengan 676 daripadanya positif Covid-19.

“Warga asing kita tumpukan di kawasan PKPD dan mereka yang berisiko tinggi yang ada hubung kait dengan perhimpunan Sri Petaling,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, perkhidmatan rawatan kepada pesakit khususnya yang mengalami penyakit kronik seperti kanser tetap berjalan seperti biasa.

“Perkhidmatan rawatan berterusan. Sebarang penangguhan bukan disebabkan Covid-19 tapi mungkin sebab lain.

“Bagi pesakit kanser, kimoterapi masih diteruskan tetapi jika ujian darah menunjukkan tidak sesuai, rawatan tidak dibenarkan,” katanya mengulas
laporan sebuah portal berita negara jiran.

Laporan berkenaan mendakwa pesakit kronik di negara ini terpaksa menangguhkan rawatan kanser selama 15 hari untuk memberi tumpuan kepada rawatan mereka yang dijangkiti Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas