Berita

Pendengaran kedua Kampung Sungai Baru ditangguh, Shahidan adakan libat urus bersama pemilik

- Diterbit 9 Disember 2021 5:30 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik tanah dan pemaju dalam masa terdekat.

Jelas beliau, ia susulan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Kuala Lumpur telah meluluskan penangguhan bagi pendengaran (hearing) kedua antara pemaju dan pemilik yang dijadualkan pada 21 Disember ini.

“Hearing yang dirancang pada 21 ini (Disember), saya telah minta JKPTG tangguhkan pada tahun hadapan dan mereka bersetuju.

“Tempoh (penangguhan) tidak boleh panjang kerana melibatkan pewartaan dan sebagainya. Sementara hearing ditangguhkan, saya akan buat libat urus dengan tuan tanah dan pemaju,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Dapur Bandaraya@PA/PPR dan Warga PA/PPR Sentiasa Di Hati di Perumahan Awam Seri Tioman 1, Taman Melati Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut mengenainya, Shahidan memaklumkan, sebelum ini libat urus sudah dilakukan dengan pemilik terlibat dan beliau juga menerima permohonan berkaitan.

Susulan itu, katanya, rundingan akan dilakukan bersama pemaju dan pemilik berhubung permohonan yang disuarakan.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa, pertikaian yang berlaku adalah dalam kawasan Kampung Sungai Baru dan ia tidak melibatkan Kampung Baru, Kuala Lumpur seperti yang ditularkan di media sosial.

“Ia (Kampung Sungai Baru) berdekatan dengan Kampung Baru. Masalah berkaitan pemilik rumah teres di situ yang mana (pengambilan) bagi rumah strata sudah hampir selesai,” katanya yang berharap ia tidak diperbesarkan sebaliknya memberi peluang kepadanya untuk menyelesaikan masalah yang timbul itu.

Baru-baru ini, sekumpulan penduduk di Kampung Sungai Baru berkumpul dan mendakwa jumlah pampasan yang diterima mereka kurang daripada RM250,000 selain turut menyatakan mereka dihalau dalam tempoh 42 hari selepas menerima notis pemakluman daripada mahkamah.

Sementara itu, pemaju terlibat menyatakan, pendengaran pertama telah dilakukan bersama pemilik rumah strata dan teres bermula 15 November lalu yang mana isu berkaitan strata telah selesai.

Pendengaran kedua hanya akan melibatkan pemilik teres bagi memaklumkan tentang jumlah pampasan yang akan diterima. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas