Audio SPRM: Polis rakam percakapan Najib, Rosmah dalam masa terdekat

Audio SPRM: Polis rakam percakapan Najib, Rosmah dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rakaman percakapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pendedahan rakaman audio daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, dalam masa terdekat.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, selain dua individu terbabit, rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad juga akan dilakukan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya membuat rakaman percakapan ke atas 21 saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Antara saksi terlibat adalah bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

“Bagi Akuan Bersumpah Azilah Hadri yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pula, 15 saksi sudah diambil keterangan.

“Saksi lain yang dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan sebelum permohonan Azilah untuk mengkaji semula hukuman matinya (difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijadualkan didengar pada 20 April ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS