Berita

Malaysia punya sinar ke Piala Thomas?

BARISAN skuad badminton negara sebelum berangkat ke Manila baru-baru ini.
- Diterbit 11 Februari 2020 7:45 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Manila, Filipina yang bermula hari ini memberi sinar baru kepada pasukan badminton lelaki negara untuk melangkah lebih jauh apabila undian dibuat semula selepas pasukan China dan Hong Kong menarik diri ekoran penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Undian semula ini menyaksikan pasukan lelaki negara diundi berdepan pasukan India dan Kazakhstan dalam Kumpulan B manakala pasukan wanita negara akan bertemu pasukan Jepun dalam Kumpulan W.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui undian terbaru ini amat menarik buat skuad negara dalam usaha merebut slot ke pusingan akhir Piala Thomas di Denmark, Mei nanti.

“Ia menawarkan laluan lebih mudah buat kami berbanding undian terdahulu. Kami berpeluang menurunkan barisan kedua ketika berdepan Kazakhstan kelak dan ia peluang buat mereka menimba pengalaman,” ujarnya.

Peluang pasukan lelaki negara untuk menjuarai kumpulan dilihat cerah namun perlu mengatasi pasukan India terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pasukan Kazakhstan.

“Peluang itu ada (untuk menjuarai kumpulan). Kami harus bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan setiap pemain perlu berikan yang terbaik, itulah yang penting,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas