Berita

Pencinta alam dipelawa sertai Pertandingan Fotografi MTCC 2020

GAMBAR oleh Abdul Hafiz Ab Hamid yang memenangi kategori Hutan dan Manusia, Pertandingan Fotografi MTCC 2018.
- Diterbit 19 Jun 2020 3:34 AM MYT

PENCINTA alam dipelawa untuk menguji kemahiran serta tahap kreativiti fotografi melalui media sosial menerusi Pertandingan Fotografi MTCC 2020 yang sedang berlangsung sehingga 6 Julai depan.

Bertemakan “Experience Forest, Experience MTCS-PEFC”, pertandingan kali ini merupakan penganjuran bersama kali ke-3 antara Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dengan PCP Publications.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Yong Teng Koon berkata, pertandingan fotografi tersebut dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keindahan dan manfaat hutan tropika Malaysia selain mempromosikan nilai alam semula jadi serta kepentingan pengurusan hutan mampan menerusi pensijilan kayu untuk generasi akan datang.

“Sebanyak lima kategori diketengahkan dalam Pertandingan Fotografi MTCC 2020 kali ini termasuk #fortheloveofnature, sebuah kategori baharu yang diwujudkan khas untuk pengguna Instagram dan Facebook menunjukkan keprihatinan mereka terhadap pemeliharaan alam menerusi fotografi.

“Selain mengajak peminat fotografi untuk menghantar gambar-gambar menarik tentang keunikan hutan Malaysia, gambar-gambar berkenaan pelindungan hutan yang menginspirasikan daripada pengguna Instagram dan Facebook juga dialu-alukan,” jelasnya.

Menurut Teng Koon, dengan menyatukan fotografi dan keberkesanan media sosial, pihaknya yakin akan dapat menjangkau lebih ramai orang bagi menyebarkan mesej positif tentang pemeliharaan alam semula jadi.

Dalam pada itu, ujar beliau, jurugambar tersohor, Azul Adnan yang pernah membarisi penjurian dalam pertandingan yang sama dua tahun lalu, sekali lagi diundang sebagai juri jemputan pada penganjuran kali ini.

Tambahnya, antara kategori yang dipertandingkan pada penganjuran tahun ini adalah Manusia dan Hutan; Hutan dan Landskap Hutan; Hutan dan Haiwan; Keajaiban dan Suara Alam (video pendek) dan #fortheloveofnature (media sosial).

“Layari Facebook MTCC.Malaysia, AdvancedImagesTravelution, majalahFotografika, PhotoCreatorTravelmate dan laman sesawang www.mtcc.com.my untuk muat turun borang penyertaan dan maklumat lanjut berkenaan pertandingan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas