Berita

Lif dibaiki, kerosakan akibat vandalisme – DBKL

NASRI(dua kanan) memaklumkan punca berlaku kerosakan lif serta tindakan yang diambil DBKL.
- Diterbit 19 Jun 2020 7:47 AM MYT

TIDAK sampai 24 jam ke­rosakan lif di Blok 94 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau dilaporkan portal Wilayahku, beberapa orang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat hadir memantau keadaan kerosakan tersebut.

BUTANG lif sering rosak kerana perbuatan vandalisme penduduk setempat.

Tindakan pantas itu dilakukan bagi memastikan penduduk tidak terjejas dengan masalah yang dihadapi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Nasri Ahmad berkata, daripada tinjauan yang dilakukan, pihaknya mendapati faktor utama kerosakan lif adalah disebabkan perbuatan vandalisme.

“Saya difahamkan, hallcall plate selalu dicuri manakala wayar lif sering dicabut sehingga menyebabkan litar pintas yang mengganggu pengoperasian lif berkenaan.

“Kita juga sudah menggesa kontraktor lif supaya membaiki dua lif yang rosak itu selewat-lewatnya hari ini (16 Jun),” katanya kepada Wilayahku.

Turut hadir Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Chua Hock Kuan; Ketua Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4 Kampung Limau, Ahmad Long dan Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani serta ahli jawatankuasanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad memaklumkan, pihak kontraktor penyelenggaraan lif sedang mengambil langkah terbaik bagi mengelakkan kerosakan berulang.

“Berdasarkan laporan yang diterima, hasil semakan ter­hadap rekod operasi lif di blok tersebut pada 15 Jun, hanya satu unit lif iaitu lif nombor 3 ditutup berikutan terdapat kerosakan pada komponen pintu lif (car door hanger broken).
“Lif tersebut ditutup sejak 12 Jun dan punca kerosakan adalah daripada aktiviti vandalisme. Tempahan alat ganti lif yang rosak telah dibuat oleh syarikat penyelenggara untuk tindakan baik pulih.

“Antara lain kerosakan di blok tersebut adalah terhadap butang-butang lif yang dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggunjawab.

“Jabatan juga dalam tindakan untuk memasang peralatan-peralatan lif yang ‘anti-vandalisme’ bagi mengurangkan kerosakan terhadap peralatan lif tersebut,” katanya.

Isnin lalu, Wilayahku melaporkan mengenai aduan penduduk Blok 94 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau mengenai lif yang rosak sejak seminggu lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas