Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fokus

Pencemaran plastik: Tingkat risiko penyakit kronik

- Diterbit 24 Mei 2024 11:30 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

ISU pencemaran plastik sampah global semakin meningkat pada kadar yang belum pernah dicatatkan sebelum ini membuatkan kerajaan terus komited dalam menangani isu tersebut menerusi pelbagai inisiatif yang sedang atau akan dijalankan.

Bekas Profesor Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Maketab Mohamed berkata jika senario pencemaran plastik ini berterusan dan tidak diatasi dengan segera ia mampu menjadi racun terhadap manusia.

“Bahan pencemaran tersebut boleh menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit paru-paru, kanser dan sebagainya terutama yang berkaitan dengan pernafasan akibat daripada pembakaran sisa plastik secara terbuka.

“Ia ibarat pembunuh ‘senyap’ kepada manusia kerana mikroplastik dan nanoplastik memiliki saiz lebih kecil dan mudah diserap oleh organisma hidup,” ujarnya.

Mengulas berkenaan Malaysia antara 10 negara yang menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan, Maketab berkata terdapat pelbagai faktor yang membuatkan negara ini menduduki tempat ketiga.

“Selain mentaliti rakyat, pemerintah juga perlu memainkan peranan dengan memandang serius setiap polisi yang diketengahkan serta tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggarnya.

“Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan agar impaknya lebih berkesan dan meluas. Selain itu, kerajaan juga perlu kuat kuasa undang-undang yang sudah ada berkaitan guna semula plastik. Haramkan penggunaan plastik sekali guna seperti beg plastik dan tukar material untuk plastik daripada petroleum produk kepada bahan organik yang mudah hancur,” jelasnya.

Tambahnya antara kaedah lain yang boleh digunakan untuk pelupusan plastik adalah dengan menanam (landfill) plastik tetapi ia memerlukan masa yang lama untuk hancur.

Dalam pada itu, pihak Universiti Malaya (UM) turut menyambut baik inisiatif kerajaan dalam menuju ke arah sifar plastik bagi membantu mengatasi pencemaran alam.

Berdasarkan laporan UN Environment Programme, sejak tahun 1950, kira-kira 9.2 bilion tan plastik telah dihasilkan, menghasilkan kira-kira 6.9 bilion tan sisa plastik primer. Lebih tiga perempat daripada sisa plastik ini dibuang dan berakhir di tapak-tapak pelupusan sampah dan persekitaran semula jadi di seluruh dunia, termasuklah sungai dan lautan.

Pada masa ini, dianggarkan lebih 20 juta tan sisa plastik dilepaskan ke dalam ekosistem akuatik setiap tahun dari tasik ke sungai hinggalah ke laut dari kesemua sumber aktiviti manusia di daratan.

Pengarah Pusat Pembangunan Lestari UM (UMSDC), Profesor Madya Dr Zeeda Fatimah Mohamad berkata menerusi Majlis Raikan Syawal Lestari yang dianjurkan oleh UM diharap mampu dijadikan model rujukan penganjuran majlis yang lestari kepada program universiti yang lain, seperti minggu orientasi pelajar dan juga majlis-majlis keraian rasmi di pelbagai peringkat dan jabatan.

“Apabila konsep lestari menjadi norma di majlis keramaian, ia dapat membantu mengurangkan penggunaan plastik sekali guna sekali gus membantu menjadikan UM sebagai kampus lestari dan neutral karbon menjelang 2030. Secara tidak langsung, ia selaras dengan agenda global dalam menangani dan mengurangkan pencemaran plastik,” ujarnya.

Lebih 6,000 orang tetamu hadir menghadiri majlis tersebut dan menariknya tetamu digalakkan membawa bekas dan peralatan makanan sendiri semasa majlis malah, panduan kelestarian juga dihebahkan awal kepada tetamu seumpama galakan berkongsi kenderaan serta amalan mengelakkan pembaziran makanan.

“Keunikan pelestarian majlis ini juga dipaparkan melalui pendekatan elemen pendidikan dan kesedaran oleh kumpulan Sukarelawan Lestari UM di mana tetamu diajar untuk melakukan pengasingan sisa mengikut kategori.

“Lebih 200 kilogram sisa makanan berjaya dikumpulkan di majlis ini dan sisa makanan bakal dijadikan kompos di tapak Zero Waste Campaign UM. Ini juga merupakan salah satu inisiatif ekonomi kitaran yang telah sekian lama diamalkan di UM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas