Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fokus

Pencemaran plastik: Sambut seruan demi kebaikan

- Diterbit 24 Mei 2024 11:40 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

PENGGUNAAN bahan berasaskan plastik seperti bekas makanan dan sebagainya sememangnya jauh lebih murah terutamanya kepada peniaga.

Namun, pendedahan serta kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan dan juga alam sekitar memberi kesedaran kepada mereka untuk beralih kepada penggunaan bahan yang lebih selamat.

Menurut Muhammad Farhan Mohd Rani, 29, sebagai peniaga, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan menerusi Kempen Hari Tanpa Beg Plastik.

“Setiap pembelian sama ada dalam skala yang sedikit mahupun banyak, pihak kami tidak menyediakan beg plastik.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan carrier bag atau beg kitar semula semasa memborong kerepak di kedai ini,” ujarnya.

Muhammad Farhan berkata seperti di kedai-kedai lain juga caj sebanyak 20 sen akan dikenakan bagi mereka yang inginkan beg plastik.

“Selain itu, kami juga dalam perancangan untuk menjual beg dengan reka bentuk kami sendiri di mana idea ini saya ambil daripada pusat beli-belah terkenal.

“Saya yakin dengan dua langkah yang diambil sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan pencemaran plastik,” katanya.

Tambahnya, semua peniaga perlu memainkan peranan dalam menyambut baik kempen-kempen yang dilakukan agar impak dan keberkesanannya lebih meluas.

Berkongsi pendapat sama, Nurnabilah Aisyah Rohaizam, 26, berkata sebagai pengguna dia sentiasa menyediakan beg dan bekas makanan sendiri yang diletakkan di dalam kereta atau beg tangan.

“Kebiasaannya kita akan menggunakan plastik ketika membeli-belah dan juga membungkus makanan jadi saya bawa beg sendiri di mana ia juga boleh diguna semula untuk pembelian lain.

“Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu meneruskan serta memperkasa kempen berkaitan pencemaran alam sekitar ini bagi memupuk kesedaran terhadap seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Selain penggunaan beg kitar semula, Anis Zur’Aina Zulkifli, 26, berkata orang ramai juga boleh menggunakan tumbler untuk menggantikan penggunaan cawan plastik ketika pembelian air di kedai.

“Tambahan pula kini terdapat pelbagai jenis, corak dan saiz tumbler yang ditawarkan membuatkan permintaannya semakin tinggi,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas