Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fokus

Pencemaran plastik: Malaysia negara kelima penyebab pencemaran laut

AKTIVITI kitar semula dikenal pasti sebagai satu langkah dalam usaha mengurangkan jumlah plastik di dunia
- Diterbit 24 Mei 2024 11:20 AM MYT

Oleh Sabrina Sabre & Diana Amir

PLASTIK kini menjadi penyumbang utama pencemaran di daratan dan lautan. Namun masih ramai yang memandang enteng isu ini dan paling menyedihkan mereka tidak menyedari plastik adalah musuh ‘senyap’ kepada manusia yang boleh menjadi ‘pembunuh’.

Biarpun bahaya pencemaran plastik diketahui semenjak awal penciptaannya, penghasilan plastik kekal berterusan pada setiap tahun berikutan permintaan penggunaannya.

Penggunaan plastik yang berleluasa di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak kerana kesan daripada penggunaannya boleh memudaratkan alam sekitar.

Terdahulu, penyedia perkhidmatan tenaga dari United Kingdom (UK), Utility Bidder mendedahkan Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik per kapita setiap tahun sekali gus meletakkan negara ini kelima tertinggi di dunia yang menyebabkan pencemaran laut. Nilai ini juga dijangka akan meningkat sebanyak tiga kali ganda menjelang tahun 2050.

Selain tersenarai sebagai negara kelima tertinggi mencemari lautan, Malaysia juga tersenarai sebagai negara ke-10 paling banyak melakukan salah urus sisa plastik per kapita.

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Khalthum Shuib, isu pencemaran plastik di lautan semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana ia membawa kemudaratan kepada hidupan laut dan juga manusia.

“Plastik bukan sahaja merbahaya kepada hidupan laut seperti penyu, anjing laut dan burung laut yang mencatatkan kematian tinggi akibat termakan sumber plastik, malah ia juga bahaya kepada ikan yang merupakan sumber protein utama dimakan oleh manusia pada setiap hari.

“Bahan kimia yang digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) atau Polybrominated merupakan sejenis toksik yang banyak ditemukan dalam ikan serta mamalia laut yang berupaya mengakibatkan kesan kronik ke atas kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan proses mutasi yang mengakibatkan kanser,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Ummi berkata plastik mengambil masa yang lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada lokasi bahan itu berada.

“Melalui kajian saintifik yang dijalankan, plastik memerlukan masa antara 10 hingga 50 tahun untuk diuraikan bergantung kepada jenis plastik dan rawatan yang dilakukan. Lebih merunsingkan, kehadiran plastik di dalam persekitaran telah menyumbang kepada pelbagai masalah termasuklah pencemaran sekunder yang lebih berbahaya.

“Penguraian sisa plastik secara semula jadi di dalam persekitaran akan menyumbang kepada pembentukan mikroplastik dan nanoplastik berbahaya kerana kedua-duanya memiliki saiz lebih kecil dan mudah diserap oleh organisma hidup.

“Selain itu, mikroplastik dan nanoplastik merupakan ejen pembawa kepada pelbagai bahan pencemaran lain seperti logam berat dan sisa farmaseutikal yang mana bahan pencemaran tersebut boleh menyebabkan penyakit kronik kepada manusia,” ujarnya.

Beliau berkata dunia perlu mengurangkan hingga separuh penggunaan plastik sekali pakai dan mengurangkan pembuangannya untuk mencegah pencemaran alam sekitar.

“Untuk membendung pencemaran plastik dan mengurangkan pengeluaran plastik sekali pakai menjelang tahun 2040, fokus utama harus diberi kepada penggunaan semula, kitar semula dan mempelbagaikan bahan yang digunakan. Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian punca pencemaran dan punca bahaya akan dapat dielakkan,” ujarnya lagi.

RAWAT GUNA KAEDAH BIOTEKNOLOGI

SETAKAT ini, belum ada lagi kaedah dan langkah khusus bagi rawatan plastik di dalam sistem rawatan air sisa domestik.

Oleh itu, menurut Ummi, pendekatan teknologi berasaskan biologi atau lebih dikenali sebagai bioteknologi bagi merawat sisa plastik daripada rawatan air domestik memiliki potensi besar untuk menyelesaikan isu ini.

“Ini kerana negara Malaysia kaya dengan sumber asli tetapi tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Negara ini memiliki sumber alam yang boleh diteroka oleh penyelidik di dalam pembangunan bioteknologi secara umumnya dan rawatan plastik secara khususnya.

“Kajian berkaitan potensi teknologi dalam merawat sisa plastik di dalam sistem rawatan air sisa telah digerakkan di negara-negara maju sejak beberapa tahun yang lalu termasuklah dengan penggunaan biopengental, bakteria, kulat dan juga enzim untuk menguraikan sisa plastik ini.

“Pendekatan bioteknologi ini mendapat perhatian negara-negara maju kerana kos yang murah berbanding dengan rawatan berasaskan kimia. Di samping itu, sumber biologi terkenal dengan ciri-ciri yang lebih selamat dan mesra alam selain merupakan sumber lestari yang mudah untuk didapati dari persekitaran,” tambahnya.

Dalam masa sama, Ummi berkata pendekatan lebih holistik seperti larangan perundangan perlu digunakan untuk menyekat penggunaan pembungkusan plastik sekali guna kerana pengganti lebih sesuai sudah ada.

“Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pemasalahan ini adalah dengan menggunakan beg kertas atau beg kain ketika membeli-belah di pasar raya mahupun kedai runcit. Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh menggunakan konsep 3R iaitu Reuse, Reduce, Recycle yang telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat.

“Seterusnya penggunaan straw besi juga dilihat dapat membendung penggunaan plastik di negara kita dan wajar diteruskan pada masa yang akan datang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ummi berkata pihak SWCorp akan melakukan usaha yang berterusan dalam membuat promosi dan program tanpa henti untuk menangani masalah ini.

“Saya juga ingin sarankan penduduk untuk menjual sampah kitar semula ke Pusat Kitar Semula, Drive Thru Recycle Center (DTRC) atau di mana-mana lokasi yang menerima sampah kitar semula,” ujarnya.

Ummi berkata bagi mengatasi masalah ini, semua pihak perlu berganding bahu dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mengikuti langkah-langkah mengurangkan penggunaan plastik seperti yang disyorkan oleh pihak kerajaan.

“Kita sedia maklum untuk menghentikan penggunaan plastik secara serta-merta adalah amat sukar. Namun begitu, langkah kecil yang kita amalkan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Kerajaan juga perlu menitikberatkan soal pendidikan kepenggunaan tentang mudarat penggunaan plastik dan kempen-kempen menyeluruh serta menguatkuasakan undang-undang yang lebih serius untuk mengubah sikap pengguna dalam isu penggunaan plastik bagi menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, 2007 (Akta 672) iaitu di bawah Peraturan Pengasingan Sisa Pepejal (SAS) turut mewajibkan semua isi rumah atau premis untuk mengasingkan sisa pepejal atau sampah dan mengitar semula.

“Kedegilan penduduk untuk mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun sehingga RM1,000,” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan sedang berusaha untuk menghapuskan penggunaan plastik sekali guna yang tidak terbiodegradasi secara berperingkat dengan mempromosi alternatif dan bahan mampan dalam pengeluaran plastik selaras Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas