Berita

Penangguhan bayaran balik PTPTN manfaat 1.5 juta peminjam

Tempoh dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan dan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 September nanti
- Diterbit 23 Mac 2020 6:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Lanjutan masa bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta turut diberikan menerusi inisiatif yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, tempoh tersebut dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan dan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 September nanti.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN,” Ujarnya.

Mengulas lanjut, ujar Perdana Menteri, selain daripada inisiatif berkenaan, kerajaan juga sedang mengkaji langkah-langkah tambahan untuk membantu rakyat menghadapi keadaan yang agak sukar pada waktu ini.

Kata beliau, langkah-langkah komprehensif sedang diteliti Kementerian Kewangan yang akan mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini, sama ada peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang dan kakitangan swasta serta kerajaan.

“Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif akan diumumkan pada 30 Mac ini. Kesemua langkah yang bakal saya umumkan nanti akan mengambil kira usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam jangka masa sederhana,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas