Berita

Penangan cerita Upin Ipin, kanak-kanak jual lukisan RM1

DUA beradik tular di laman sosial kerana menjual lukisan dengan harga RM 1 sekeping di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi , Kuala Lumpur, Isnin lalu.
- Diterbit 9 September 2021 6:02 AM MYT

“AKIBAT terpengaruh dengan cerita upin dan Ipin , anak saya mahu menjual lukisan itu dengan harga sekeping seringgit manakala dua keping tiga ringgit,” kata Muhammad Fadhil, 32, bapa kepada dua kanak-kanak Alya Aqeela Muhammad Fadhil,7, dan adiknya Alya Adeela Muhammad Fadhil,3, yang kisahnya tular di laman sosial kerana menjual lukisan dengan harga RM 1 sekeping di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi , Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Muhammad Fadhil berkata, pada mulanya beliau terkejut apabila anaknya menyuarkan hasrat untuk menjual lukisan itu dengan harga tersebut.

“Saya bersetuju jika kakak (Alya Aqeela) ingin menjual dengan harga sekeping seringgit tetapi saya terkejut apabila dia mahu menjual dua keping gambar dengan harga tiga ringgit seperti dalam cerita Upin Ipin.

”Memandangkan saya adalah seorang peniaga, jadi saya cadangkan kepadanya untuk menjual dengan harga satu keping RM1 manakala dua keping RM2 kerana ianya lebih bersesuaian. Tambahan pula dia juga masih kecil dan masih tidak faham dengan konsep perniagaan,” katanya ketika di hubungi Wilayahku pada Rabu.

Alya Aqeela (kiri) bersama adiknya Alya Adeela sewaktu menjual lukisan RM1

Bercerita lanjut, Muhammad Fadhil berkata, anaknya secara tiba-tiba meminta untuk membuka khemah berhampiran kawasan rumah kerana mahu menjual lukisan kepada orang ramai.

“Pagi itu dia beritahu saya yang dia mahu menjual lukisan dan minta untuk pacakkan khemah di hadapan rumah. Pada mulanya saya menyangka dia sekadar bergurau, tetapi dia dilihat bersungguh-sungguh dan saya turutkan sahaja.

“Saya katakan kepada dia, kakak hanya ada dua lukisan sahaja jadi saya minta beliau untuk tambahkan empat lagi lukisan supaya lebih ramai orang datang membeli.

”Maka pada petang (Isnin) saya pasangkan khemah, letak meja, kerusi bersama lukisan itu dan tinggalkan mereka berdua di situ, ” katanya.

Alya minat melukis sejak tadika

Bagaimanapun, Muhammad Fadhil dan isteri tidak menyangka ramai penduduk yang mengunjungi kawasan itu dan membeli lukisan itu sehingga kesemua lukisan tersebut habis terjual dalam masa satu jam sahaja.

“Saya tak sangka akan dapat sambutan dan sepatutnya dia mendapat RM6 daripada hasil jualan enam buah lukisan. Namun saya dan isteri terkejut kerana dia mendapat RM51 hasil jualan dan sumbangan daripada penduduk setempat.

“Dia sangat seronok apabila semua lukisan tersebut habis terjual dan memberitahu mahu melukis dan menjual lagi pada keesokan harinya (hari ini),” katanya.

Muhammad Fadhil berkata, lebih mengharukan apabila anaknya menghulurkan duit jualan kepada isterinya namun beliau dinasihatkan untuk menyimpan wang tersebut ke dalam tabung.

Beliau yang juga penjual durian turut berkata, bakat anaknya itu mula dikesan sejak tadika dan mengikut jejak langkah datuknya yang juga merupakan seorang pelukis gambar, tekstur dan kain rentang.

“Saya perasan kakak minat melukis lukisan berwarna dan haiwan sejak tadika. Sejak daripada itu, kami belikan kelengkapan melukis seperti warna air dan karyon untuknya.

“Saya dan isteri tidak akan menghalang minat anaknya, sebaliknya akan terus memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan minat tersebut,” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas