Berita

Kadar pengangguran meningkat pada Julai 2021

BILANGAN penganggur meningkat pada Julai.
- Diterbit 9 September 2021 8:54 AM MYT

BILANGAN penganggur di Malaysia meningkat sedikit 1.2 peratus pada Julai tahun ini kepada 778,200 orang berbanding 768,700 pada bulan lepas.

Menurut Stastistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia Julai 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini, kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar penurunan dari bulan ke bulan yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.2 peratus dicatatkan dalam bilangan penduduk bekerja pada Julai 2021 kepada 15.29 juta orang berbanding 15.30 juta orang (Jun), dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk kekal pada 65.0 peratus.

“Julai 2021 menyaksikan bilangan guna tenaga terus menurun namun pada kadar yang perlahan, manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Julai 2021 seramai 16.07 juta orang.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Julai, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 651,300 ribu orang berbanding 642,900 orang pada Jun tahun ini.

Bagi penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, bilangannya meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 126,900 orang pada Julai berbanding 125,800 orang pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan itu berkata, secara umumnya, pasaran buruh berhubung secara positif dengan prestasi ekonomi.

“Pelaksanaan PPN (Pelan Pemulihan Negara) telah memberikan sedikit fleksibiliti kepada aktiviti ekonomi dan perkhidmatan untuk kembali beroperasi selari dengan fasa PPN. Strategi bersasar ini dapat mendorong pasaran buruh untuk pulih secara progresif,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Uzir berkata berikutan situasi kesihatan awam yang tidak menentu, cabaran terhadap pasaran buruh mungkin akan berterusan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas