Berita

Labuan capai 100 peratus imuniti kelompok

RITHUAN berkata pencapaian imuniti kelompok sepenuhnya itu membabitkan pemberian dos kedua suntikan vaksin COVID-19 kepada 68,536 individu dewasa.
- Diterbit 9 September 2021 1:58 AM MYT

WILAYAH Persekutuan Labuan kini telah mencapai 100 peratus bagi golongan individu dewasa 18 tahun ke atas lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, pencapaian imuniti kelompok sepenuhnya itu membabitkan pemberian dos kedua suntikan vaksin COVID-19 kepada 68,536 individu dewasa.

“Alhamdulillah, hari ini Labuan telah mencapai 100 peratus imuniti kelompok dan syabas kepada semua agensi khususnya JPBD dan warga Labuan yang bersama- sama menjayakan usaha mencapai imuniti kelompok,” katanya ketika dihubungi Wilayahku, semalam.

Dalam perkembangan lain, Rithuan yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan memaklumkan pihaknya kini memfokuskan program pemberian vaksinasi kepada golongan remaja 16 dan 17 tahun serta remaja 12 hingga 15 tahun sebelum sesi persekolahan dibuka pada awal Oktober ini.

Jelasnya, baru-baru ini pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mendapatkan input dan cadangan bagi pembukaan sesi persekolahan.

“Labuan telah disenaraikan di antara wilayah yang pertama yang akan melaksanakan pemberian vaksinasi kepada remaja 16 dan 17 tahun yang mempunyai penyakit kronik dan ketika ini Sarawak telah menjadi negeri pertama dan akan disusuli Labuan.

“Kita di bawah JPBD buat masa ini sedang merangka persiapan untuk melaksanakan program itu,” katanya.

Terdahulu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan dilancarkan pada 27 Februari dan telah mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada 27 Julai lalu. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas