Artikel

Penambahbaikan kesihatan di Malaysia tidak sekata

KAJIAN mendapati tahap kesihatan rakyat Malaysia berkait rapat dengan status sosioekonomi. - BERNAMA KAJIAN mendapati tahap kesihatan rakyat Malaysia berkait rapat dengan status sosioekonomi. - BERNAMA
- Diterbit 12 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negaranegara pada tahap pembangunan serupa turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

TAHAP kesihatan rakyat Malaysia telah meningkat berbanding beberapa dekad lalu, namun peningkatan ini didapati berlaku secara tidak sekata bagi setiap lapisan masyarakat, menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI), Social Inequalities and Health in Malaysia, yang diterbitkan hari ini.

Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama. Secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada tahun 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, 11 tahun lebih lama berbanding bayi yang lahir pada tahun 1970.

Peningkatan jangka hayat ini adalah hasil pengurangan kadar kematian, termasuk kematian kanak-kanak dan ibu bersalin.

Sebagai contoh, pada tahun 1970, kadar kematian di kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neonatal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran, dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada tahun 2019.

Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin telah menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 1970 kepada 21.1 pada tahun 2019.

HIDUP LEBIH LAMA TIDAK BERMAKNA HIDUP LEBIH SIHAT

Menurut laporan KRI, jangka hayat masih belum memadai sebagai petunjuk taraf kesihatan penduduk; ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, sakit belakang dan penyakit mental, terutama semasa tua.

Sehubungan itu, penilaian tahap kesihatan penduduk tidak wajar tertumpu kepada peningkatan jangka hayat semata-mata, tetapi perlu memastikan peluang untuk menjalani hidup dengan lebih sihat.

Dalam mengkaji tempoh masa di mana rakyat terpaksa hidup dengan penyakit dan kecacatan/kekurangan upaya, laporan mengemukakan jangka hayat sihat (HALE), iaitu jumlah tahun seseorang dijangka hidup dalam keadaan sihat.

Pada tahun 2019, penduduk Malaysia mempunyai purata jangka hayat sihat selama 65.5 tahun.

Ini bermaksud walaupun bayi yang dilahirkan pada tahun 2019 dijangka hidup selama 75.0 tahun, 9.5 tahun dilalui dalam keadaan tidak sihat.

Di samping itu, laporan tersebut mendapati peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak sekata.

Contohnya, bayi lelaki yang lahir di Sarawak atau Kuala Lumpur pada tahun 2020 dijangka hidup 74 tahun, berbanding 69 tahun bagi bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu atau Kelantan pada tahun yang sama (perbezaan 5 tahun).

Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negara-negara pada tahap pembangunan serupa turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Walaupun Malaysia mempunyai jangka hayat yang hampir sama dengan Mexico dan lebih tinggi daripada Turki dan Thailand pada tahun 1990, negaranegara tersebut telah melepasi Malaysia dengan jangka hayat yang lebih tinggi pada tahun 2019.

JURANG KESIHATAN ANTARA KAYA DAN MISKIN 

Selain perbezaan kesihatan antara jantina, kumpulan etnik dan negeri, laporan turut menunjukkan ketidaksamaan kesihatan rakyat berdasarkan pendapatan dan pekerjaan, lalu menekankan peranan faktor sosial dalam mempengaruhi kesihatan.

Hasil kajian menunjukkan tahap kesihatan berkait rapat dengan status sosioekonomi.

Secara amnya, golongan berpendapatan rendah cenderung mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah.

Contohnya, kadar penghidap darah tinggi (hipertensi) bagi isi rumah 20% terbawah (B20) ialah 38.3%, manakala kadar bagi isi rumah 20% tertinggi (T20) ialah 27.1%.

Corak ini juga dilihat bagi masalah kesihatan mental di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. 33.6% dewasa dan 13.9% kanak-kanak dalam kumpulan pendapatan terendah mempunyai masalah kesihatan mental, berbanding 26.4% dewasa dan 8.0% kanak-kanak dalam kumpulan pendapatan tertinggi.

KERJA DAN KESIHATAN, FIZIKAL DAN MENTAL

Tidak dinafikan pekerjaan boleh meningkatkan tahap kesihatan melalui sumber pendapatan yang diperolehi.

Pendapatan daripada bekerja boleh digunakan untuk membeli produk dan perkhidmatan bagi tujuan menambahbaik kesihatan dan menyokong amalan hidup sihat.

Walaubagaimanapun, pekerjaan juga boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dengan mendedahkan pekerja kepada kecederaan fizikal, pencemaran bahan kimia, dan kesan psikososial termasuk tekanan disebabkan desakan kerja dan cabaran lain di luar kawalan pekerja.

Sebilangan besar tenaga kerja Malaysia mempunyai masalah kesihatan.

Pada tahun 2019, pekerja tanpa gaji/suri rumah mempunyai kadar hipertensi tertinggi (34.7%) berbanding kumpulan pekerjaan lain (pekerja kerajaan/separa kerajaan pada 29.4%; pekerja swasta pada 18.8%; bekerja sendiri pada kadar 30.7%).

Pada tahun 2015, satu daripada tiga pekerja swasta, bekerja sendiri dan pekerja tanpa gaji/suri rumah dan satu daripada empat pekerja kerajaan/separa kerajaan dianggarkan mempunyai masalah kesihatan mental.

MENAMBAHBAIK KESIHATAN SELURUH RAKYAT 

Laporan tersebut mengakui bahawa sistem kesihatan Malaysia secara amnya menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan yang meluas untuk rakyat, namun jurang dalam tahap kesihatan menunjukkan bahawa akses sahaja tidak mampu menjamin kesihatan yang baik untuk semua.

Sebaliknya, kesihatan turut dipengaruhi beberapa faktor termasuk pendapatan dan jenis pekerjaan.

Ketidakseimbangan dalam faktor-faktor ini menyebabkan perbezaan tahap kesihatan di kalangan rakyat. Oleh itu, dasar kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang kesihatan.

Dasar kesihatan bukan sahaja harus merangkumi faktor-faktor yang mempengaruhi kesihatan secara langsung, tetapi meneliti dan memperbaiki mekanisme sosial yang mengakibatkan peningkatan kesihatan yang tidak sekata dalam kalangan rakyat.

Dalam konteks ini, Malaysia wajar mengambil pendekatan intersektoral apabila menangani isu seperti memperluaskan akses pendidikan, melaksanakan sistem perlindungan sosial bagi rakyat terabai dan memperbaiki kualiti perumahan.

Dalam merancang dasar nasional bagi meningkatkan kesejahteraan negara baik perancangan bandar, pendidikan atau perindustrian dasar tersebut haruslah mempertimbangkan impak terhadap kesihatan.

Artikel ditulis oleh INSTITUT PENYELIDIKAN KHAZANAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas